SUKAN

KEM BADMINTON SARAWAK SASAR PERBAIKI PENCAPAIAN EDISI LEPAS

15/08/2024 03:17 PM

SIBU, 15 Ogos (Bernama) -- Kem badminton Sarawak mahu memanfaatkan sebaiknya kelebihan beraksi di hadapan penyokong sendiri untuk memperbaiki pencapaian pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 yang akan bermula Sabtu ini, di Stadium Tertutup Sibu di sini.

Pengurus pasukan Ting Ching Zung berkata skuad badminton Sarawak ketika ini berada pada kondisi terbaik dan mempunyai kekuatan seimbang dalam kesemua enam kategori yang dipertandingkan.

“Saya tidak mahu berikan sebarang tekanan kepada pemain tetapi saya maklumkan mereka semua sudah siap sedia. Saya hanya mahu berikan motivasi kepada pemain untuk beraksi dengan baik.

“Pada edisi lepas, setelah 30 tahun, kita menang pingat pertama acara beregu campuran, iaitu pingat gangsa. Jadi, tahun ini saya rasa kita mampu dapat lebih. Kita sasarkan penamat podium,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di Stadium Tertutup Sibu hari ini.

Ting berkata skuad badminton turut mendapat sokongan padu daripada Kerajaan Negeri Sarawak  sepanjang proses mereka mempersiapkan pasukan untuk menghadapi SUKMA 2024 yang menjadi satu tonik dan motivasi kepada semua pemain untuk beraksi cemerlang.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kerana dengan bantuan dan sokongan yang kami terima daripada Kerajaan Negeri Sarawak dan Majlis Sukan Negeri, kami berjaya menyiapkan pasukan hingga tahap ini,” katanya.

Pada SUKMA 2022, gandingan Owen Ting Shih Wee-Wong Ling Ching menamatkan penantian tiga dekad Sarawak selepas memenangi pingat gangsa acara beregu campuran menumpaskan pasangan dari Melaka Tan Kok Xian-Yap Ling 21-12, 19-21, 21-17 pada perlawanan yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Badminton yang menawarkan keseluruhan enam pingat emas akan membuka gelanggang secara rasmi pada Sabtu ini, bermula dengan acara berpasukan campuran.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan