JENAYAH & MAHKAMAH

DUA PENUNTUT KOLEJ VOKASIONAL PENGKALAN CHEPA MAUT DALAM KEMALANGAN DI TUMPAT

16/08/2024 04:19 PM

KOTA BHARU, 16 Ogos (Bernama) -- Dua penuntut Kolej Vokasional Pengkalan Chepa maut apabila motosikal dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Jalan Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan awal pagi tadi.

Mangsa yang meninggal dunia dikenali sebagai Mohammad Ameer Haziq Noor Ariff Irwantoo dan Muhammad Aqil Zulaini, masing-masing berumur 18 tahun.

Ketua Polis Daerah Tumpat ACP Mohd Khairi Shafie berkata dalam kejadian pada 1.20 pagi itu, kedua-dua mangsa yang menunggang dua motosikal dari arah Kota Bharu ke Pasir Pekan dipercayai membuat pusingan U di laluan utama untuk berpatah balik ke Kota Bharu.

Beliau berkata sebuah kereta jenis Honda BR-V yang dipandu seorang lelaki berusia 50-an dari arah sama gagal mengelak lalu melanggar kedua-dua remaja berkenaan.

“Kemalangan itu menyebabkan kedua-dua penunggang terjatuh dan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Khairi berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan Raya 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta tampil membantu siasatan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan