JENAYAH & MAHKAMAH

MAHKAMAH PERINTAH MYAIRLINE BAYAR CAJ PERKHIDMATAN TERTUNGGAK RM17.7 JUTA

16/08/2024 06:22 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini memerintahkan MYAirline Sdn Bhd membayar RM17.7 juta kepada Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd dan Malaysia Airports Sdn Bhd sebagai caj perkhidmatan lapangan terbang tertunggak.

Pesuruhjaya Kehakiman (JC) Mahkamah Tinggi Gan Techiong membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan untuk penghakiman terus terhadap MYAirline selaku defendan yang difailkan kedua-dua plaintif tahun lepas.

JC Gan mengarahkan defendan membayar RM9,111,402.94 kepada plaintif pertama (Malaysia Airports (Sepang) dan RM8,636,150.08 kepada plaintif kedua (Malaysia Airports).

“Mahkamah turut memerintahkan defendan membayar kos RM10,000 kepada setiap plaintif,” katanya.

Penghakiman terus dikeluarkan apabila mahkamah memutuskan bahawa satu pihak berhak mendapat penghakiman berdasarkan undang-undang dan membuat keputusan berdasarkan hujahan bertulis dan hujahan undang-undang, tanpa memerlukan perbicaraan penuh atau keterangan saksi.

Dalam keputusannya, JC Gan berkata dua plaintif berhak mengutip caj daripada syarikat penerbangan untuk perkhidmatan yang disediakan dan kemudian menyatakan jumlah yang perlu dibayar kepada plaintif. 

Pada 9 Nov 2023, kedua-dua plaintif memfailkan permohonan untuk mendapatkan penghakiman terus, atas alasan wang dituntut daripada defendan masih terakru dan terhutang, selain defendan tidak mempunyai sebarang pembelaan terhadap tindakan saman yang dibuat.

Pada 24 Nov tahun lepas, MYAirline memfailkan permohonan terbabit atas alasan plaintif perlu menggunakan satu mekanisme penyelesaian pertikaian seperti dinyatakan dalam Seksyen 74 hingga 78 Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2015 sebelum memfailkan saman itu.

Tindakan plaintif, dakwa syarikat penerbangan tambang rendah itu, adalah tidak sah atau pramatang kerana tidak mematuhi serta tidak menggunakan mekanisme penyelesaian pertikaian terbabit.

Kedua-dua plaintif membantah permohonan berkenaan kerana mekanisme penyelesaian di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia tidak terpakai untuk perkara itu.

JC Gan menolak permohonan MYAirline untuk membatalkan saman itu dan memerintahkan syarikat berkenaan untuk membayar kos RM30,000 kepada plaintif.

Malaysia Airports (Sepang) dan Malaysia Airports Sdn Bhd selaku plaintif memfailkan saman pada 18 Okt 2023, dengan mendakwa MYAirline sebagai defendan gagal membayar enam jenis caj perkhidmatan kepada kedua-dua plaintif yang keseluruhannya berjumlah RM17,747,553.02.

Dakwanya, caj tertunggak yang perlu defendan bayar ialah perkhidmatan penumpang (PSC) dan perkhidmatan keselamatan penumpang (PSSC) berjumlah RM10,863,478.90, pendaratan (RM5,445,555.45), tempat letak pesawat (RM176,017.92), aerobridge (RM655,760), kaunter daftar masuk (RM267,367) dan pembayaran lewat (RM339,373.72).

Plaintif mendakwa defendan tidak pernah mempertikaikan kandungan invois dan penyata akaun dikeluarkan syarikat penerbangan itu dalam masa 30 hari.

Sehubungan dengan itu, plaintif menuntut defendan antaranya membayar caj tertunggak berjumlah RM17,747,553.02 kepada syarikat penerbangan itu khususnya RM9,111,402.94 kepada plaintif pertama dan RM8,636,150.08 kepada plaintif kedua, ganti rugi am dan relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Malaysia Airports (Sepang) dan Malaysia Airports Sdn Bhd diwakili peguam Shannon Rajan, Eric Gomez dan Katelyn Yeoh, manakala MYAirline diwakili peguam Nesema Jalaludheen.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan