AM

NEGARA PERLU LEBIH RAMAI TOKOH PEMPENGARUH BERILMU - ZULKIFLI

17/08/2024 09:09 PM

KUALA KANGSAR, 17 Ogos (Bernama) -- Negara memerlukan lebih ramai tokoh pempengaruh yang mempunyai kekuatan ilmu, intelektual dan sahsiah dalam mendepani penggunaan media sosial serta dunia pendigitalan yang semakin meluas.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata demikian selepas memetik kenyataan daripada bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Prof Datuk Dr Siddiq Fadzil sebelum ini bahawa negara mengalami satu fenomena kebanjiran selebriti dan kemarau tokoh.

"Jadi sekarang kita inginkan lebih ramai tokoh yang (boleh) menjadi pempengaruh kerana dalam konteks realiti pada hari ini dalam keadaan media sosial dan dunia digital (terdapat) permasalahan seperti kesihatan mental (atau) kecenderungan terhadap (sifat) extremisme.

“(Perkara itu boleh) menimbulkan pertelingkahan dan ketidaktenteraman, maka kita memerlukan tokoh pempengaruh yang mempunyai kekuatan ilmu, sahsiah mahupun intelektual untuk mempengaruhi masyarakat (ke arah kebaikan) terutama anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Syarahan Sheikh Abdullah Fahim serta Pelancaran Buku dan Video Sheikh Abdullah Fahim di Dewan Madrasah Idrisiah di sini hari ini.

Zulfifli berkata pihaknya menyarankan supaya lebih ramai pempengaruh sebenar dilahirkan untuk memberikan sumbangan kepada negara dalam mewujudkan keharmonian dan kedamaian dalam masyarakat.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sedang menyiasat dakwaan satu saluran YouTube seorang individu menghasilkan video realiti membabitkan wanita dan lelaki dalam sebuah premis yang tular baru-baru ini yang mengundang rasa kurang senang pengguna laman sosial .

“Merujuk kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, setakat ini (kes itu) sedang dalam siasatan dan kita akan maklumkan sekiranya ada apa-apa (maklumat) yang akan dimaklumkan oleh JAKIM insya-Allah,” katanya.

Baru-baru ini, media melaporkan pengguna media sosial di Facebook mempersoalkan kandungan video seorang Youtuber yang menghasilkan kandungan seolah-olah program realiti antara lelaki dan wanita yang dikatakan membawa pengaruh barat dalam budaya tempatan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan