POLITIK

PRK NENGGIRI: KEMENANGAN BN BUKTI USAHA, IKHTIAR KERAJAAN PERPADUAN DITERIMA RAKYAT

18/08/2024 12:01 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, Kelantan yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) semalam membuktikan usaha dan ikhtiar Kerajaan Perpaduan dalam meningkatkan ekonomi negara serta memastikan kesejahteraan masyarakat di negara ini  telah mula diterima rakyat.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata sokongan itu menunjukkan gelombang perpaduan sudah mula terbentuk dan pada masa sama rakyat, khususnya di Nenggiri, turut menolak politik mengadu domba dan fitnah yang cuba memecahbelahkan masyarakat.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan berkata PRK Dun Nenggiri juga mencipta sejarah apabila jumlah pengundi yang keluar semalam menunjukkan peratusan yang sangat tinggi berbanding beberapa siri PRK sebelum ini.

“Keputusan ini membuktikan bahawa anak muda masih memilih untuk menyokong Kerajaan Perpaduan, khususnya BN…dan kita lihat bagaimana hampir kesemua pusat daerah mengundi (PDM), BN telah menang dengan bergaya.

“Jadi majoriti yang cukup membanggakan dan cukup jelas membuktikan bahawa kerajaan dan rakyat memahami usaha dan ikhtiar kerajaan dan mereka mula merasai hasil yang dilakukan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

“Ini juga merupakan satu referendum kepada Kerajaan Negeri Kelantan dan pimpinan parti PAS yang terbukti cara mereka berpolitik dan juga apa yang berlaku, khususnya Bersatu, telah ranap di Gua Musang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengedarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan di sekitar Pasar Pagi Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata suntikan kejayaan di PRK Nenggiri hasil kerjasama erat di antara parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan, dilihat mampu memberi kemenangan kepada BN sekali lagi di PRK DUN Mahkota, Johor pada September nanti.

“Insya-Allah menjelang PRK DUN Mahkota nanti kita percaya dengan momentum yang telah dibina… kita jangka boleh memberikan kemenangan kepada BN dan Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Semalam, Calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani, yang juga Ketua Pemuda UMNO Kelantan, menang pada PRK DUN Nenggiri dengan majoriti besar 3,352 undi.

Beliau memperoleh 9,091 undi dan menewaskan pencabarnya calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional yang meraih 5,739 undi.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan