AM

RAPID BUS PERTIMBANG PERLUAS PERKHIDMATAN DRT KE SEBERANG PERAI

21/08/2024 04:08 PM

GEORGE TOWN, 21 Ogos (Bernama) -- Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) akan mempertimbangkan kemungkinan memperluaskan perkhidmatan ‘Demand Responsive Transit' (DRT) di negeri ini termasuk  di kawasan Seberang Perai. 

Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus Muhammad Yazurin Sallij berkata ini susulan respon positif yang diterima dari pengguna terhadap perkhidmatan itu di kawasan Air Hitam dan Farlim sejak dimulakan 1 Ogos lepas.

Beliau berkata meskipun masih dalam tempoh percubaan sehingga 31 Oktober ini, namun bilangan pengguna dilihat telah melebihi sasaran awal yang ditetapkan iaitu 100 orang sehari.

“Ada kemungkinan (perluaskan perkhidmatan termasuk ke Seberang Perai) tapi kita belum putuskan lagi sebab kita nak lihat dahulu bagaimana DRT ini boleh memainkan peranan untuk menggalakkan penggunaan perkhidmatan  pengangkutan awam di kalangan orang awam.

“Sebab itu dalam tempoh percubaan ini kita buat pengumpulan data antaranya jumlah penumpang, macam mana reaksi mereka, sama ada van yang kita sediakan cukup atau tidak dan sebagainya. Dengan data ini nanti kita akan lihat bagaimana penambahbaikan dapat dibuat terhadap perkhidmatan ini pada masa hadapan,” katanya kepada pemberita pada sesi taklimat Media Ride Along DRT Rapid Penang di Hub Lintang Angsana Air Hitam, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Komersial dan Usaha Sama Strategik Rapid Bus Khairil Khalid dan Ketua Wilayah Utara Rapid Bus Ahmad Shabuddin Abdullah.

Muhammad Yazurin berkata pihaknya juga sedang meneliti keperluan untuk menambah bilangan kenderaan bagi perkhidmatan itu di sini susulan tambahan 300 buah van yang akan diterima Rapid Bus secara berfasa mulai Disember tahun ini hingga Julai 2025.

Beliau menjelaskan DRT adalah bertujuan untuk meningkatkan akses penumpang ke perkhidmatan bas terutamanya bagi kawasan yang jauh dari hentian bas utama sekali gus membolehkan mereka bergerak dengan lebih mudah ke pusat bandar seperti Komtar atau Balik Pulau.

Tambah beliau, untuk menempah perkhidmatan DRT, pengguna perlu memuat turun aplikasi Kumpool terlebih dahulu dan terdapat 110 hentian disediakan yang boleh dipilih oleh pengguna dalam lingkungan kawasan perkhidmatan meliputi radius dua kilometer dengan waktu operasi bermula 6 pagi hingga 11 malam.

“Aplikasi ini sangat mesra pengguna dan kita juga turut menyediakan perkhidmatan sokongan melalui pusat panggilan bagi mereka yang memerlukan bantuan dalam menggunakan aplikasi atau mempunyai sebarang pertanyaan. Pasukan kami sentiasa bersedia untuk memberikan panduan yang diperlukan.

“Selain itu, kita juga akan buat jerayawara dari semasa ke semasa untuk menerangkan serta mempromosikan perkhidmatan ini kepada orang ramai,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan