SUKAN

SUKMA 2024: TERENGGANU TIDAK ‘GOYAH’ BIDIK DUA LAGI PINGAT EMAS MEMANAH

21/08/2024 06:12 PM

KUCHING, 21 Ogos (Bernama) -- Walaupun beraksi dalam keadaan kurang memuaskan dan cuaca tidak menentu, gandingan Terengganu mendominasi Lapang Sasar Memanah di sini apabila meraih dua pingat emas masing-masing menerusi acara recurve dan compound berpasukan campuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2024.

 Gandingan Muhammad Saiful Islam Mohd Rizuwan-Nurul Izzah Mazlan menamatkan ‘badi’ final dengan bergaya apabila mengecewakan wakil Pahang Muhammad Haiqal Danish Syamsul Affandi-Nur Rafiqa Izzlyn Zaidi, 6-2. 

Muhammad Saiful Islam, 20, berkata beliau dan Nurul Izzah mula digandingkan pada 2018 serta terharu atas kejayaan hari ini kerana merupakan SUKMA terakhirnya.

“Sebelum ini dah sertai (kejohanan bersama-sama) tapi (kami) jarang ke final. Walaupun berada di ranking atas, kami macam ada badi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini. 

Wakil tuan rumah Joey Tan Xing Lei- Liew Yu Jie tidak dapat menandingi kehebatan wakil Selangor, Ahmad Razin Azahar-Nur Ieka Hariesya Zainal Habsahli untuk membawa pulang pingat gangsa apabila ditewaskan, 2-6. 

Dalam compound berpasukan campuran, gandingan Muhammad Aiman Syafiq Mohd Tariki-Nurul Syaza Husna Mahari membawa pulang pingat emas menerusi kelebihan empat mata kepada pasangan Wilayah Persekutuan, Afiq Zufar Mohamad Shah-Hadira Hisham, 151-147.

Nurul Syazana Husna berkata cuaca yang tidak menentu sedikit sebanyak menjejaskan kesihatannya hari ini namun berterima kasih kepada Muhammad Aiman Syafiq yang banyak membantu menyumbang mata.

“Pagi tadi hujan lebat, selepas tu cuaca panas. Hal itu membuatkan saya macam nak demam. Sebenarnya saya baru baik daripada demam,” katanya yang sebelum ini meraih pingat emas 50 meter compound wanita. 

Pasangan Pahang, Muhammad Ammerul Muqri Mohd Munzir dan Safi Qurratu Aini Saifol Anuar menuai gangsa selepas menewaskan Alya Fariesya Ruslam-Muhamad Danish Muhamad Nadzimuddin dari Johor, 149-145. 

Terengganu mengungguli tangga pertama acara memanah selepas mengumpul empat daripada 14 pingat emas yang ditawarkan.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan