JENAYAH & MAHKAMAH

MAQIS TAHAN KONTENA MAKANAN BERASAS HAIWAN DARI KOREA SELATAN BERNILAI LEBIH RM10,000

21/08/2024 04:21 PM

SHAH ALAM, 21 Ogos (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) Selangor menahan sebuah kontena berisi pelbagai makanan berasaskan haiwan bernilai RM10,125.17 dari Korea Selatan, kerana tidak memiliki permit import yang sah di Pelabuhan Klang Barat, pada 16 Ogos.

Pengarah MAQIS Selangor Mohd Sobri Md Hashim berkata kesemua dagangan tersebut, cuba dibawa masuk oleh sebuah syarikat tempatan namun ditahan di pintu masuk Pelabuhan Klang Barat, dekat sini pada 10.30 pagi.

“Pemeriksaan terhadap sebuah kontena itu mendapati, dagangan yang dibawa masuk tidak mempunyai permit import yang sah dikeluarkan oleh MAQIS,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam tahun atau denda tidak melebihi RM100,000 atau kedua-duanya sekali.

Mohd Sobri berkata tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperluaskan di semua pintu masuk negara, bagi memantau dan memeriksa setiap keluaran pertanian.

Beliau berkata tindakan itu bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara, bebas daripada ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar disamping mematuhi syarat dan peraturan yang telah ditetapkan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan