AM

PENGAMAL MEDIA DIMINTA LAPOR KEPADA PIHAK BERKUASA SEKIRANYA ALAMI GANGGUAN SEKSUAL - FAHMI

21/08/2024 06:24 PM

PUTRAJAYA, 21 Ogos (Bernama) -- Pengamal media yang mengalami gangguan seksual semasa bertugas di lapangan diminta segera melaporkan insiden itu kepada pihak berkuasa, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan keselamatan pengamal media sentiasa terjamin serta keadilan dapat ditegakkan kepada setiap mangsa.

“Saya ingin beri jaminan (kepada) semua wartawan, sekiranya anda jadi mangsa gangguan seksual tidak kira anda lelaki atau wanita. Sila buat laporan polis dan juga sampaikan makluman kepada saya,” katanya dalam sidang media pasca Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Sebelum ini seorang wartawan wanita dilapor mengalami gangguan seksual ketika bertugas bagi liputan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap pada bulan lepas.

Mengenai insiden berkenaan, Fahmi berkata beliau difahamkan kes itu diklasifikasikan sebagai No Further Action (NFA).

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan