SUKAN

SUKMA 2024: NURQAYYUM NAZMI SEKAT DOMINASI SARAWAK DI KOLAM TERJUN

21/08/2024 10:20 PM

KUCHING, 21 Ogos (Bernama) -- Atlet pelapis kebangsaan, Nurqayyum Nazmi Mohamad Nazim mengungguli acara 1 meter (m) papan anjal individu dan 3 m papan anjal seirama Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini untuk membantu Wilayah Persekutuan menamatkan penguasaan tuan rumah dalam acara terjun.

Dengan Sarawak menyapu bersih kesemua pingat emas yang ditawarkan dalam acara berkenaan bermula Isnin lepas, Nurqayyum Nazmi membantu pasukan Wilayah Persekutuan untuk mengutip dua daripada tiga emas yang dipertandingkan hari ini.

Atlet berusia 18 tahun itu yang bergandingan dengan Yong Rui Jie memenangi acara 3 meter papan anjal seirama lelaki dengan mengumpul 346.05 mata selepas melakukan enam terjunam.

Wakil Terengganu Ikmal Abror Ibrahim-Muhammad Harris Mohd Rezal (289.20) dan Chan Min Hern-Muhammad Ahza Dzakirin Alizar dari Perak (277.86) untuk melengkapkan podium.

Bagaimanapun, wakil tuan rumah Awang Sharzan Nasrin Awang Nasaruddin-Soh Tze Kang, yang berada dalam kedudukan untuk memperoleh perak, melakukan kesilapan berikutan gementar pada terjunan terakhir menyebabkan memperoleh markah kosong tergelincir di kedudukan kelima dengan mengumpul 262.08 mata.

Nurqayyum Nazmi menamatkan kempen dengan meraih emas 1m papan anjal lelaki, mengumpul 335.35 mata.

Penerjun tuan rumah Muhammad Lutfir Rahman Mohammad Razak mengumpul 277.40 mata dan Muhammad Harris (273.65) masing-masing membawa pulang pingat perak dan gangsa.

“Saya sangat gembira kami memenangi emas pertama untuk Wilayah Persekutuan dalam acara terjun. Kami mahu melakukan terbaik dalam acara ini kerana Sarawak mendominasinya sejak dua hari lepas, rasa penat lelah selama ini terbayar.

“Saya merancang untuk melanjutkan pelajaran dan berharap dapat membawa pulang pingat pada Kejohanan Dunia Remaja (yang dijadual di Rio de Janeiro, Brazil dari 24 Nov hingga 1 Dis),” kata Nurqayyum Nazmi, yang turut memperoleh gangsa menerusi 3m papan anjal, Isnin lepas.

Sementara itu, penerjun Sarawak Nurul Farisya Alia Affendi, 15, yang membuat penampilan pertama kali di SUKMA menggondol pingat emas platform wanita dengan 241.90 mata, meninggalkan pemenang pingat emas Sukan SEA Kemboja 2023 yang mewakili Wilayah Persekutuan Lee Yiat Qing (241.10) serta rakan sepasukan Nur Eilisha Rania Muhammad Abrar Raj (231.45) bagi perak dan gangsa.

Sarawak masih mendahulu kutipan pingat emas acara terjun dengan enam emas, satu perak dan satu gangsa diikuti Wilayah Persekutuan (2-3-3), Terengganu (0-2-3), Perak (0-1-1) dan Sabah (0-1-0).

Dua lagi pingat emas akan dipertaruhkan esok dalam acara 3m papan anjal seirama wanita dan platform lelaki manakala acara 3m papan anjal wanita dan platform seirama campuran akan diadakan pada hari terakhir temasya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan