EKONOMI

LAWATAN KE INDIA MEMBUAHKAN HASIL, RAIH POTENSI PERDAGANGAN RM8 BILION - PM ANWAR

21/08/2024 10:04 PM

Daripada V.Sankara

NEW DELHI, 21 Ogos (Bernama) -- Lawatan ke India berjaya membuahkan hasil apabila Malaysia meraih potensi perdagangan berjumlah RM8 bilion dalam sektor minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit, bahan kimia dan produk kimia, minyak dan gas serta alat ganti kapal terbang.

 Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata selain itu Malaysia juga berjaya mendapatkan komitmen pelaburan bernilai RM4.5 bilion daripada pelbagai sektor serta syarikat di negara ini.

“Nilai perdagangan Malaysia-India pada 2023 berjumlah RM72.31 billion (US$16.53 bilion) dengan 168 projek pelaburan dilaksanakan sehingga Mac 2024 bernilai RM4.5 bilion, yang bakal mewujudkan 16,640 peluang pekerjaan,” kata beliau yang mengakhiri lawatan rasmi tiga hari ke India, hari ini.

Anwar berkata, lawatan ke India kali ini turut menyaksikan permeteraian lapan Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan Malaysia dan India serta tujuh MoU B2B (Perniagaan kepada Perniagaan) antara kedua-dua negara.

“Saya berterima kasih kepada Perdana Menteri India, Narendra Modi, kerana mengundang saya untuk lawatan rasmi ke India yang sangat memuaskan,” kata beliau kepada media Malaysia selepas berakhirnya lawatan tersebut.

Mengulas pertemuannya dengan Modi, Anwar berkata kedua-dua pemimpin itu bersetuju untuk meningkatkan kerjasama yang komprehensif dalam semua bidang, termasuk digital, pelancongan, pendidikan, penyelidikan dan budaya.

Beliau juga memanjangkan jemputan kepada Presiden India Droupadi Murmu dan Modi untuk melawat Malaysia bagi meningkatkan momentum hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Ditanya mengenai hasrat Malaysia untuk menyertai perkumpulan BRICS, Anwar berkata Modi bersetuju untuk menyokong keputusan negara menyertai kumpulan tersebut.

"Pada tahap ini, ia masih di peringkat awal kerjasama. Penyertaan secara langsung akan diputuskan oleh wakil-wakil negara dalam pertemuan ketua-ketua negara di Kazan, Rusia, dalam tempoh satu atau dua bulan (lagi)," kata beliau.

Pada 18 Jun lepas, Anwar mengesahkan beliau telah menyatakan hasrat Malaysia untuk menyertai BRICS kepada Presiden Brazil, Luiz Inácio Lula da Silva.

BRICS ditubuhkan pada 2009 sebagai platform kerjasama bagi ekonomi sedang pesat membangun, terdiri dari Brazil, Rusia, India, dan China dengan Afrika Selatan menyertainya pada 2010.

Pada Januari 2024, Iran, Mesir, Ethiopia, dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) diterima sebagai anggota baharu.

Anwar berkata Malaysia akan terlebih dahulu menjadi 'negara rakan' BRICS sebelum memuktamadkan penyertaan penuhnya dalam kumpulan tersebut.

Mengenai kemungkinan Malaysia melanjutkan tempoh pemberian visa percuma kepada rakyat India, Perdana Menteri berkata kerajaan akan memberikan kemudahan tersebut sekiranya mendapat tindak balas yang sama daripada Kerajaan India.

Beliau berkata jumlah pelancong India ke Malaysia kini mencecah hampir 800,000 orang dan kerajaan berharap angka tersebut meningkat kepada sejuta pelancong.

"Sebagai contoh, Perdana Menteri Modi secara spontan mengumumkan 100 biasiswa untuk pelajar Malaysia belajar di India dalam bidang keselamatan siber dan kecerdasan buatan (AI), di bawah inisiatif Indian Technical and Economic Cooperation Programme," katanya.

Modi semasa sidang media bersama Anwar semalam mengumumkan tawaran biasiswa tersebut kepada pelajar Malaysia untuk mengikuti kursus yang ditawarkan bawah inisiatif berkenaan

Terdahulu, hari ini, Anwar mengadakan mesyuarat meja bulat dengan 31 syarikat dan peneraju industri dari pelbagai sektor seperti farmaseutikal, kimia, elektronik, pembuatan insulin, logistik, dan farmaseutikal.

Acara terakhir Perdana Menteri sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur adalah pertemuan dengan para pemimpin Islam di India, termasuk Maulana Syed Ahmed Bukhari daripada Masjid Jama dan Maulana Mahmood A. Maddani daripada Jamiat Ulama-i-Hind.

Beliau juga mengadakan pertemuan dengan Ketua Pembangkang Parlimen India, Rahul Gandhi, yang disifatkannya sebagai sahabat baiknya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan