AM

PETANI GESA CADANGAN NAIKKAN SEWA JENTUAI DIKAJI SEMULA

22/08/2024 11:40 AM

JERLUN, 22 Ogos (Bernama) -- Pengusaha jentuai digesa agar mengkaji semula cadangan menaikkan kadar sewa mesin itu daripada RM140 kepada RM200 bagi serelung (0.30 hektar) sawah.

Pesawah, Fisol Omar, 61, dari Alor Biak di sini yang mengusahakan 10 hektar bendang berkata peningkatan kadar upah itu sangat mendadak dan tidak mengambil kira kos sebenar.

Beliau berkata kenaikan itu tidak sepatutnya berlaku dan sesuatu yang mengecewakan selain menyifatkan alasan yang diberikan iaitu peningkatan harga minyak dan alat ganti jentera sebagai tidak wajar.

“Tak munasabah, buatlah kira-kira kerana pesawah pun tertekan sekarang ini dengan penyakit padi dan terbaharu fenomena serangan ulat gulung dan padi angin yang menyebabkan kemerosotan hasil sampai 80 peratus.

“Kami buat bendang tak jadi (hasil kurang) sejak empat musim (dua tahun) lagi. Tapi kalau dinaikkan kepada RM160 atau RM170 serelung kami boleh terima lagi,” katanya kepada pemberita di Kubang Sepat, Ayer Hitam di sini.

Mohtar Bakar, 64, dari Kampung Telok Jawa turut menyifatkan kenaikan kadar upah jentera penuai itu sebagai tidak masuk akal dan berharap ia tidak dimuktamadkan sehingga kajian terperinci dibuat.

“Kalau ikutkan kenaikan minyak untuk satu relung dalam RM16. Jadi kalau dulu upah mesin RM130 campur dengan RM16, baru RM146. Bagi kita, kenaikan yang dibuat tanpa kiraan sebenar,” katanya.

Mohtar berkata kenaikan itu tidak sewajarnya berlaku kerana rata-rata pengusaha juga merupakan pesawah dan mereka mengetahui kesusahan dialami golongan itu ketika ini.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) E2 Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Kubang Sepat, Abdul Halim Saleh berkata cadangan upah jentuai sebanyak RM200 serelung meresahkan pesawah kerana musim menuai akan tiba tidak lama lagi.

Beliau berkata buat masa ini pesawah masih boleh berbincang dengan pengusaha mesin di kawasan masing-masing untuk menentukan kadar upah yang sesuai dan dipersetujui bersama.

“Kita harap dapat satu keputusan yang baik antara peladang dan pengusaha jentera. Kalau harga RM200 itu dalam keadaan hasil semakin menyusut kita boleh kata membebankan,” katanya yang berharap kerajaan dapat campur tangan dalam menyelesaikan isu tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan pengusaha jentera penuai mencadangkan untuk menaikkan kadar sewa mesin tersebut daripada RM140 kepada RM200 bagi serelung (0.30 hektar) sawah di Kedah dan Perlis untuk mengimbangi peningkatan pelbagai kos ketika ini.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan