EKONOMI

SUBSIDIARI NANOMALAYSIA BUAT MOU TEKNOLOGI BATERI DENGAN SINGAPURA DAN THAILAND

22/08/2024 10:04 PM

Oleh Nur Ashikin Abdul Aziz

SINGAPURA, 22 Ogos (Bernama) -- Subsidiari NanoMalaysia Bhd, GigaFactory Malaysia Sdn Bhd (GMSB), hari ini telah menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) berkaitan kerjasama teknologi bateri dengan syarikat dari Singapura dan Thailand.

Majlis pemeteraian itu dibuat semasa Persidangan Teknologi Bateri ASEAN ke-2 (ABTC 2024) yang sedang berlangsung di Sentosa hari ini, adalah lanjutan daripada perjanjian yang ditandatangani pada Persidangan Teknologi Bateri dan Kenderaan Elektrik ASEAN Kali Pertama di Bali, Indonesia tahun lalu untuk mempromosikan kerjasama merentas sempadan mengenai teknologi bateri.

Perjanjian GMSB dengan NEU Battery Materials Pte Ltd (NEU) dari Singapura akan menumpukan pada pembangunan operasi peringkat kilang giga termasuk pembuatan teknologi bateri yang inovatif, menggabungkan bahan nano bagi aplikasi mobiliti dan pegun.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) NanoMalaysia Dr Rezal Khairi Ahmad berkata NEU akan memastikan bekalan berterusan bahan bateri kitar semula seperti litium karbonat dan logam lain tersedia kepada Pusat Bateri Kenderaan Hidrogen-Elektrik (HEBATT) GMSB untuk ujian prestasi.

 Rezal Khairi menandatangani bagi pihak GMSB manakala NEU diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya Bryan Oh.

NEU memiliki kepakaran dalam pengkitaran semula bateri litium besi fosfat.

“Kami mempunyai teknologi, dan kami bercita-cita untuk menghasilkan bateri pada skala yang lebih besar bagi memenuhi keperluan industri serta jangkaan komersial. Soalan lazim yang ditanya oleh pelabur ialah adakah mereka boleh mendapatkan litium?.” katanya.

“Jadi di sinilah peranan NEU bermula, syarikat mampu menghasilkan atau mengekstrak litium daripada bateri terbuang yang akan membuka satu lagi dimensi baharu dalam usaha ekonomi mesra dan kitar semula di Malaysia,” katanya semasa sidang akhbar selepas acara pemeteraian perjanjian itu.

Sementara itu , kerjasama GMSB dengan Universiti Khon Kaen (KKU) Thailand akan memanfaatkan kepakaran serta sumber bersama mereka. Universiti tersebut melalui Kilang Teknologi dan Sains Tenaga Baharu (UVOLT) akan berfungsi sebagai pengeluar sumber luar untuk bateri yang dibangunkan oleh GMSB.

Kerjasama itu juga akan menyediakan perkongsian pengetahuan dalam ujian dan pensijilan bateri yang akan membawa kepada kemajuan produktiviti di Pusat HEBATT.

Rezal Khairi mewakili GMSB manakala KKU diwakili Pengarah UVOLT iaitu Prof Nonglak Meethong.

“Kapasiti GMSB adalah dalam kilowatt-jam (kWj) manakala UVOLT (beroperasi) pada megawatt jam (MWh). Kerjasama ini akan membolehkan kami melonjak dengan pantas dalam aspirasi kami bagi meningkatkan pengeluaran bateri kami,” katanya.

Nonglak berkata: “Bateri litium-ion adalah berbahaya, jadi ia perlu dihasilkan dengan kaedah serta persekitaran terkawal untuk membolehkan ia berprestasi dengan selamat.

“Kami mempunyai kemudahan dan kami berharap fasiliti itu bukan sahaja akan memberi faedah kepada pemaju di Thailand tetapi juga turut memanfaatkan negara lain, terutamanya di ASEAN.”

Sementara itu, satu lagi MoU yang ditandatangani di ABTC 2024 adalah antara Institut Penyelidikan dan Kejuruteraan Bahan (IMRE) Singapura dengan INV Corporation mengenai penyelidikan bersama untuk membangunkan pemisah bateri hibrid yang akan menangani cabaran keselamatan yang dihadapi oleh bateri cas semula.

Kerjasama ini bertujuan bagi mengeksploitasi kekuatan serta hak harta intelek dalam bateri pepejal yang dibangunkan di Singapura.

Diadakan dari 21 hingga 23 Ogos, ABTC 2024 telah menarik lebih 320 peserta dari 16 negara.

Acara ini dianjurkan oleh Konsortium Bateri Singapura secara bersama dengan NanoMalaysia, Persatuan Teknologi Penyimpanan Tenaga Thailand, Institut Penyelidikan Bateri Nasional dan Pusat Teknologi Pengangkutan Lestari Nasional Indonesia serta Persatuan Kenderaan Elektrik Filipina.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan