DUNIA

SAHAM BERKAITAN YTL PACU PENINGKATAN BURSA MALAYSIA PADA TENGAH HARI

22/08/2024 01:53 PM

KUALA LUMPUR, 22 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia meningkat pada tengah hari Khamis, dipacu oleh prestasi kukuh syarikat berkaitan YTL susulan pengumuman keuntungan bersih YTL Corporation Bhd yang melonjak hampir dua kali ganda, baru-baru ini.

Pada rehat tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 0.12 peratus atau 1.99 mata kepada 1,637.31 daripada 1,635.32, semalam.

Indeks petunjuk utama itu dibuka menokok 5.01 mata kepada 1,640.33. dan bergerak dalam julat 1,634.69 hingga 1,641.12 pada sesi pagi.

Di pasaran meluas, kaunter rugi mengatasi untung iaitu 545 berbanding 377 dengan 452 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,123 tidak diniagakan dan lapan yang lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 2.19 bilion unit bernilai RM1.42 bilion.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd berkata saham berkaitan YTL juga dijangka didagangkan lebih aktif, didorong oleh pengumuman pelaporan pendapatan korporat suku ke suku yang kukuh.

"Kegiatan pengambilan untung kekal ketara di pasaran tempatan, sejajar dengan prestasi dicatatkan pasaran serantau.

“Susulan prestasi positif di Wall Street, kita mungkin melihat limpahan sokongan pembelian itu turut melanda sektor teknologi tempatan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Pada masa sama, firma pembrokeran saham itu juga mengandaikan situasi membabitkan penularan cacar monyet mungkin memberi sedikit rangsangan kepada saham-saham penjagaan kesihatan.

"Selain itu, kita turut cenderung memilih saham pengguna dan kewangan berikutan faktor persekitaran ringgit yang lebih kukuh," katanya.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank turun 8.0 sen kepada RM10.44, CIMB Group susut 4.0 sen kepada RM7.85, Tenaga Nasional berkurangan 6.0 sen kepada RM13.84, Public Bank berkurangan 4.0 sen kepada RM4.59 dan IHH Healthcare menguncup 1.0 sen kepada RM6.31.

Bagi saham aktif, YTL Power naik 35.0 sen kepada RM4.10, Elridge Energy meraih 8.5 sen kepada 37.5 sen, MYEG Services menambah 1.0 sen kepada 93 sen manakala Velocity Capital susut 0.5 sen kepada 5.5 sen dan Cape EMS berkurangan 2.0 sen kepada 40.5 sen.

Selain itu, YTL Power, Petronas Chemicals and YTL Corporation pula menjadi pemacu indeks utama dengan gabungan sebanyak 9.49 mata.

Di papan indeks menyaksikan Indeks FBM Emas naik 1.75 mata kepada 12,410.54, Indeks FBMT 100 menokok sebanyak 5.49 mata kepada 12,071.04 manakala Indeks FBM Emas Syariah meningkat 19.73 mata kepada 12,368.60.

Indeks FBM ACE pula susut 33.50 mata kepada 5,302.78 dan Indeks FBM 70 turun 25.90 mata kepada 17,970.33.

Bagi sektor, Indeks Perladangan naik 49.34 mata kepada 7,159.05, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.97 mata kepada 183.21 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 106.31 mata kepada 19,071.65 dan Indeks Tenaga berkurangan 10.04 mata kepada 925.68.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan