DUNIA

AUSTRALIA AKAN HASILKAN PELURU BERPANDU JARAK JAUH DENGAN KERJASAMA KONGSBERG NORWAY

22/08/2024 04:38 PM

CANBERRA, 22 Ogos (Bernama-Xinhua) -- Australia akan mula menghasilkan peluru berpandu jarak jauh mulai 2027 di bawah kerjasama dengan syarikat pertahanan Norway, Kongsberg, lapor Xinhua.

Menteri bagi Industri Pertahanan dan Penyampaian Keupayaan, Pat Conroy mengumumkan pada Khamis bahawa kerajaan akan menyumbang sehingga A$850 juta (US$572.2 juta) dengan kerjasama Kongsberg Defence Australia untuk menghasilkan dan menyelenggara peluru berpandu tempatan.

Di bawah perkongsian itu, sebuah kilang peluru berpandu di kawasan lapangan terbang di bandar Newcastle, lebih 100 kilometer di utara Sydney akan dibuka pada 2026 dan mula menghasilkan dan menyelenggara Naval Strike Missiles (NSM) dan Joint Strike Missiles pada 2027 untuk digunakan oleh Angkatan Pertahanan Australia (ADF).

NSM akan menggantikan peluru berpandu anti-kapal Harpoon di kapal pemusnah kelas Hobart dan kapal frigat kelas Anzac milik ADF.

-- BERNAMA-XINHUA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan