EKONOMI

BELANJAWAN 2025: KPK MOHON PERUNTUKAN TAMBAHAN TANAM SEMULA KELAPA SAWIT, GETAH - JOHARI

23/08/2024 04:42 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perladangan dan komoditi (KPK) akan memohon peruntukan tambahan bagi tujuan penanaman semula kelapa sawit dan getah menerusi Belanjawan 2025 akan datang, kata Menterinya Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

"Kita memang nak minta penambahan peruntukan untuk tanaman semula pokok kelapa sawit yang sudah tua.

"Kita nak minta bajet tambahan...itu kena tanya Kementerian Kewangan (MoF) ," katanya kepada media selepas mengadakan lawatan ke reruai KPK di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 hari ini.

Kerajaan sebelum ini telah memperuntukkan sejumlah RM100 juta menerusi Skim Insentif Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0 di bawah Belanjawan 2024 yang dibentangkan Oktober tahun lepas.

Johari berkata pada masa sama, KPK turut berhasrat memohon MoF mempertimbangkan penyediaan peruntukan dalam Belanjawan 2025 untuk penanaman semula pokok getah bagi membantu pekebun kecil.

"Tanaman semula (getah) juga merupakan salah satu inisiatif yang kita buat...yang ini memerlukan modal dan kita akan bawa benda ni kepada MoF," katanya, sambil menambah inisiatif itu sebagai usaha mengurangkan kebergantungan import getah asli pada masa akan datang.

Dalam pada itu, Johari berkata kementerian menerusi agensinya sedang giat mempromosikan kepada pekebun kecil supaya berdaftar dengan BUDI Agri-Komoditi bagi menikmati sumbangan tunai kerajaan susulan pelaksanaan program penyasaran semula subsidi diesel.

Beliau berkata daripada sejumlah 210,00 pekebun kecil dalam negara, hanya kira-kira 18,000 yang telah berdaftar dengan BUDI Agri-Komoditi.

"Agensi-agensi KPK bila turun ke bawah, kita dapati bahawa banyak maklumat tidak sampai kepada mereka sedangkan rasionalisasi subsidi ini sudah berjalan, jadi kita nak pastikan mereka tidak terjejas," tambahnya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan