AM

CELIK MADANI PEMANGKIN PENGURUSAN KEWANGAN BIJAK GANERASI MUDA-GPMS

23/08/2024 10:27 AM

GEORGE TOWN, 23 Ogos (Bernama) -- Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) menyifatkan program Celik Kewangan Belia MADANI akan menjadi pemangkin untuk pengurusan kewangan yang lebih bijak dalam kalangan generasi muda.

Naib Presiden GPMS Muhammad Danial Alimin berkata inisiatif itu juga merupakan satu langkah penting ke arah meningkatkan tahap celik kewangan dalam kalangan belia di Malaysia.

"GPMS menyokong penuh inisiatif Celik MADANI: Celik Kewangan Belia MADANI  yang telah diumumkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB) sempena penjenamaan semula Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) semalam.

"Dengan pelaburan permulaan RM50 yang diberikan kepada setiap pelajar hasil kerjasama antara kerajaan Malaysia, PNB, dan syarikat korporat; GPMS percaya bahawa inisiatif ini bukan sahaja akan memupuk tabiat menabung dalam kalangan belia, tetapi juga akan menjadi pemangkin untuk pengurusan kewangan yang lebih bijak dalam kalangan generasi muda," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Perdana Menteri Datuk Seri Anwar mengumumkan pemberian dana awal RM50 juta kepada sejuta penuntut Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi program Celik Kewangan Belia MADANI.

Muhammad Danial berkata inisiatif itu adalah usaha yang sangat diperlukan untuk memastikan belia mula merancang kewangan mereka pada usia muda seterusnya mengukuhkan kedudukan kewangan mereka selepas tamat pengajian.

Beliau berkata ia juga sejajar dengan matlamat GPMS untuk memperkasakan generasi muda dengan ilmu dan kemahiran kewangan yang asas agar mereka dapat membuat keputusan kewangan yang lebih bijak dan termaklum pada masa hadapan.

"Dengan sokongan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia, PNB, dan sektor korporat, kami yakin bahawa matlamat untuk membangunkan tahap celik kewangan dalam kalangan belia akan dapat dicapai dengan lebih efektif," katanya.

Beliau berkata GPMS menyeru semua pelajar untuk mengambil peluang itu kerana ia memberikan nilai pelaburan permulaan dan membuka ruang untuk membina masa depan kewangan yang lebih kukuh.

Muhammad Danial berkata pihaknya juga berharap agar semua pihak yang terlibat termasuk institusi pengajian tinggi dan institusi pengajian vokasional akan terus bekerjasama untuk menjayakan inisiatif ini.

Beliau berkata GPMS yakin bahawa inisiatif itu akan menjadi asas kepada pembinaan generasi muda yang lebih berdaya saing, celik kewangan, dan bersedia menghadapi cabaran kewangan di masa hadapan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan