JENAYAH & MAHKAMAH

TUJUH PENYOKONG BOLA SEPAK CETUS PROVOKASI DIDAKWA

23/08/2024 03:15 PM

IPOH, 23 Ogos (Bernama) -- Tujuh lelaki yang disyaki terlibat kekecohan dan provokasi pada perlawanan Liga Super membabitkan Perak FC dan Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Perak di sini Sabtu lepas, dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua pertuduhan.

Pertuduhan terhadap Muhammad Ikhwan Muizzuddin Vira, 25, Muhammad Danish Hayqal Md Hanapi, 21, Muhammad Syawal Aiman, 20, Mohammad Khairul Aizam Mohd Rizan, 26, Mohamad Zulhisyam Ramdan, 20, Muhammad Sufian Zamri, 32, dan Muhammad Hasif Md Rahim, 28, dibacakan di hadapan Majistret S. Punitha.

Bagi pertuduhan pertama, kesemua mereka didakwa berkelakuan aib dengan mengeluarkan kata-kata kesat dan mengeluarkan isyarat jari tengah kepada penyokong bola sepak JDT di Stadium Indera Mulia Kompleks Sukan di sini pada 10.45 malam, 17 Ogos lepas.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) dan dibacakan bersama Seksyen 334 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100, jika sabit kesalahan.

Mohamad Zulhisyam, Muhammad Sufian dan Muhammad Hasif masing-masing mengaku bersalah atas pertuduhan terbabit dan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM100 bagi setiap tertuduh serta memerintahkan penjara selama sehari jika gagal membayar denda itu.

Empat lagi tertuduh iaitu Muhammad Ikhwan, Muhammad Danish Hayqal, Muhammad Syawal dan Mohammad Khairul Aizam masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu dan memohon untuk dibicarakan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM100 bagi setiap tertuduh dan menetapkan 10 Okt ini bagi sebutan semula kes untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.

Bagi pertuduhan kedua, tujuh lelaki itu masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan sengaja menghalang penjawat awam dengan tidak memberikan kerjasama ketika pemeriksaan polis dalam menjalankan kerja-kerja jawatannya di lokasi, masa dan tarikh yang sama. 

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika disabitkan kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Mahkamah membenarkan jaminan RM1,500 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan menetapkan 10 Okt ini untuk sebutan semula kes. 

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Hidayu Zakaria manakala kesemua tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Ng Yun Khong.

Pada 18 Ogos lepas, polis menahan lapan penyokong bola sepak termasuk seorang remaja kerana disyaki terlibat kekecohan dan provokasi pada perlawanan Liga Super membabitkan Perak FC dan JDT di Stadium Perak.

Kekecohan berlaku ketika perlawanan antara The Bos Gaurus dan JDT yang sepatutnya dilangsungkan  pada 9 malam tertangguh sementara ekoran faktor cuaca buruk.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) kemudian mengumumkan perlawanan membabitkan kedua-dua pasukan itu ditunda ke tarikh baharu.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan