AM

UMNO CADANG SRA, SMA, SMKA LAKSANA PROGRAM ULUL ALBAB SEPENUHNYA

23/08/2024 01:32 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- UMNO mencadangkan kepada kerajaan agar semua Sekolah Rendah Agama dan Sekolah Menengah Agama bantuan kerajaan serta Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) melaksanakan program Ulul Albab sepenuhnya. 

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata cadangan itu bertujuan memperkasakan agenda melahirkan generasi masa hadapan yang kukuh jati dirinya.

“Hal ini bagi memastikan wujudnya kesinambungan pendidikan al-Quran yang telah kita mulakan pada peringkat Tabika,” kata Presiden UMNO itu dalam ucapan dasar di hadapan lebih 6,000 perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Program Ulul Albab merupakan program pendidikan integrasi antara program pendidikan sedia ada dengan program aliran agama termasuk Tahfiz al-Quran.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata beliau telah mengarahkan  Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki untuk melaksanakan program Ulul Albab di semua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Beliau berkata matlamat utama adalah untuk memastikan kesemua 57 MRSM dengan kapasiti pelajar sebanyak 37,000 orang, akan melahirkan generasi yang mempunyai kekuatan dan kemantapan jiwa bersandarkan al-Quran tanpa meminggirkan hal akademik dan kursus yang telah ditetapkan.

Selain itu, Ahmad Zahid berkata parti berkenaan turut mencadangkan agar MARA melengkapkan ekosistem pendidikan dengan membuka sekolah rendah bagi memastikan agenda membangunkan generasi masa hadapan dapat digarap dengan silibus pembangunan modal insan yang mantap.

Sebagai usaha membangunkan Islam dan generasinya, Ahmad Zahid berkata beliau akan memastikan program Pra Tahfiz yang dimulakan tahun lepas dapat dilaksanakan di 9,600 Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) di seluruh negara secara berperingkat.

Beliau berkata program yang bermula di 100 Tabika KEMAS melibatkan 1,500 kanak-kanak itu telah diperluas kepada 4,145 Tabika KEMAS tahun ini, dengan penyertaan 62,172 kanak-kanak.

“Sasaran besar kita, hajat saya, UMNO dan kerajaan untuk melahirkan sebanyak 140,000 huffaz kecil (cilik) menjelang tahun itu (2026),” katanya. 

Ahmad Zahid berkata Dasar Tahfiz Negara 2.0 juga diperkenalkan untuk memperkemas sistem pendidikan dan mewujudkan persekitaran kondusif yang melahirkan huffaz berketerampilan.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) diangkat sebagai agenda besar bagi menjadikan program itu sebagai pilihan arus perdana yang membuka ruang lebih luas kepada anak muda menyertai sektor perekonomian dan perindustrian negara.

“Alhamdulillah, hasil usaha kita bersama, TVET semakin mendapat tempat di hati anak-anak muda. Malah, beberapa kejayaan telah dapat kita saksikan, contohnya Norazian Mohd Sobri lepasan Madrasah Nahdhah Hasanah, Kedah kini bergelar jurutera penerbangan bersama Thales Singapura.

“Di samping itu, sejumlah 622 orang lagi berjaya menjadi jurutera penerbangan setelah mendapat latihan di UniKL-MIAT, selain 1,225 anak muda kita juga telah mengikuti kursus kemahiran hingga China,” kata Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara.

Perhimpunan Agung UMNO 2024 berlangsung bermula Rabu lepas hingga esok melibatkan 6,433 perwakilan dari seluruh negara.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan