AM

PROGRAM PENJAGAAN SUNGAI ATASI PENCEMARAN DI LEMBANGAN SUNGAI ULU KINTA

25/08/2024 09:57 AM

IPOH, 25 Ogos (Bernama) -- Setiap tahun, beribu-ribu tan sedimen dan tanah yang terhakis daripada cerun jalan raya dihanyutkan sejauh 15 kilometer ke Empangan Sultan Azlan Shah di hilir Lembangan Sungai Ulu Kinta yang menyediakan bekalan air utama untuk bandar raya Ipoh.

Sedimen itu semakin memenuhi empangan dengan Lembaga Air Perak perlu membelanjakan sehingga RM2.5 juta setahun untuk mengeluarkan mendapan dari empangan berkenaan.

Pengarah Global Enviroment Centre (GEC) Faizal Parish berkata kajian dilakukan pihaknya mendapati pencemaran sumber air itu antaranya berpunca daripada pembinaan jalan raya Simpang Pulai ke Cameron Highlands.

Jalan raya itu katanya dibina merentasi kawasan tadahan air iaitu Hutan Simpan Bukit Kinta yang menganggu sistem ekologi sehingga menyebabkan hakisan tanah sejak 20 tahun lepas.

Beliau berkata pihaknya telah melibatkan Orang Asli di kawasan itu untuk menjalankan tinjauan lengkap dari empangan berkenaan melalui hutan ke kawasan jalan raya bagi mengenal pasti punca mendapan di Lembangan Sungai Ulu Kinta pada 2019 dan 2020.

Faizal berkata selepas penilaian itu, pihaknya bersama wakil daripada 35 agensi kerajaan menerusi sebuah jawatankuasa dipengerusikan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memulakan inisiatif dari 2020 hingga 2022 bagi membangunkan strategi pengurusan keseluruhan Lembangan Sungai Ulu Kinta.

"Ini termasuk perlindungan hutan, kawalan hakisan, pemantauan sungai dan cerun selain meningkatkan kebajikan komuniti dan pembangunan ekopelancongan. Setelah itu, agensi-agensi bertanggungjawab telah mengambil tindakan untuk menyokong pelaksanaan strategi berkenaan," katanya.

Beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengetuai kerja kawalan hakisan dan GEC menyokong usaha itu menerusi projek biokejuruteraan tanah dengan menggunakan tumbuh-tumbuhan untuk menstabilkan cerun yang terhakis.

Menurut Faizal, usaha itu mencapai kemajuan yang baik, namun masih banyak perlu dilakukan untuk mengatasi masalah berkenaan yang memerlukan penglibatan pelbagai pihak serta penyelarasan tindakan.

“Kita tidak menemui bahan pencemar lain di kawasan empangan, tetapi di hilir sungai menuju bandar raya Ipoh, terdapat banyak bahan pencemar dari kawasan perindustrian dan premis perniagaan termasuk restoran dan bengkel kereta.

“Di beberapa anak sungai ia sangat ketara, tetapi secara keseluruhan, sungai utama melalui bandar raya Ipoh telah menunjukkan peningkatan kualiti air dalam tempoh lima tahun lepas,” katanya.

GEC turut mengadakan Program Penjagaan Sungai bertujuan memberikan kefahaman kepada wakil-wakil komuniti mengenai ekosistem sungai serta cara pengurusan, penjagaan dan peluang pendapatan menerusi kelestarian sungai.

Pegawai Program Kanan GEC Norazrin Mamat berkata pihaknya menekankan konsep kitar semula dan pengkomposan sisa organik seperti kulit buah-buahan dan sisa sayur-sayuran untuk dihasilkan menjadi baja sebagai usaha memelihara sungai.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan