AM

KPDN PERTINGKAT KERJASAMA DENGAN AGENSI LAIN BANTERAS KETIRISAN

26/08/2024 10:03 PM

MIRI, 26 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meningkatkan lagi kerjasama dengan agensi berkaitan bagi membanteras ketirisan barang kawalan bersubsidi.

Menterinya Datuk Armizan Mohd Ali hari ini berkata ini termasuk, aktiviti penyeludupan ke luar negara dan penyelewengan jualan kepada sektor yang tidak berkelayakan menerima subsidi.

Mengulas kes tangkapan terbaharu penyeludupan diesel bersubsidi di Sibu semalam (Ahad), beliau berkata ia telah diterajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama pasukan daripada lbu Pejabat Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya.

Armizan berkata siasatan kes itu diselaraskan SPRM di bawah Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan, selain Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dikawal selia KPDN.

“KPDN akan memberikan kerjasama rapat dengan SPRM untuk memastikan siasatan terperinci dapat dilaksanakan, bagi membolehkan mereka yang didapati melakukan penyelewengan akan didakwa di mahkamah,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Terdahulu Armizan menghadiri Mesyuarat Isu Bekalan Minyak Petrol RON97 Bagi Kenderaan Pelancong Brunei/Indonesia, di pejabat KPDN di sini.

Beliau berkata siasatan akan meliputi keseluruhan rantaian sindiket besar penyeludupan diesel, yang dipercayai beroperasi sejak tahun 2012 meliputi kumpulan penyeludup, sumber bekalan diesel termasuk stesen minyak dan pihak yang bersubahat memberikan perlindungan.

Semalam Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata suruhanjaya itu menahan lima individu disyaki terbabit dengan sindiket penyeludupan minyak diesel bersubsidi milik persatuan nelayan, serta membayar rasuah kepada penguat kuasa di Sibu sebagai balasan tidak mengambil tindakan penguatkuasaan.

Beliau berkata tiga lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 60-an itu ditahan semalam, kerana disyaki terlibat dengan sindiket yang dipercayai mengaut keuntungan sehingga RM400 juta dengan menjual minyak diesel bersubsidi untuk kegunaan nelayan kepada pihak luar, pada kadar harga tertentu.

Menurut Azam lagi serbuan di sebuah depoh penyimpanan minyak yang terletak di Sungai Bidut turut disertai KPDN di bawah operasi bersepadu Ops Liter, turut menyita dua tongkang, serta 30 tangki minyak membabitkan 1.6 juta liter diesel serta wang tunai RM3.7 juta.

Sementara itu, Armizan berkata melalui Ops Tiris 3.0 pula yang bermula 1 Jan, fokus penguatkuasaan juga telah diperluaskan kepada barang kawalan dan barang kawalan bersubsidi lain seperti petrol RON95, minyak masak polibeg 1kg, gas petroleum cecair (LPG), gula putih bertapis (kasar dan halus) dan tepung gandum.

Beliau berkata berdasarkan statistik operasi itu sehingga 24 Ogos, sebanyak 642 kes melibatkan rampasan 5.8 juta liter diesel bersubsidi bernilai RM63.3 juta direkodkan, hasil dari pemeriksaan di 12,389 buah premis di seluruh negara dengan seramai 304 suspek ditahan untuk siasatan lanjut.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan