AM

KOLEJ PENGAJIAN SENI KREATIF UITM METERAI MOU DENGAN 4 PEMAIN INDUSTRI

26/08/2024 08:00 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Kolej Pengajian Seni Kreatif (KPSK) Universiti Teknologi MARA (UiTM) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama empat pemain industri dalam usaha merancakkan lagi momentum jaringan sektor seni kreatif.

UiTM dalam kenyataan baru-baru ini memaklumkan pemain industri terbabit ialah Cloudtheatre Sdn Bhd (Cloudjoi), Creative Stew Sdn Bhd, Dear Creative Media Sdn Bhd dan GMBB.

“Rakan strategik di peringkat industri tempatan memainkan peranan yang penting dalam membuka peluang kepada pelajar melalui penyelidikan dan kebolehgajian pelajar.

“Hasrat Naib Canselor agar pelajar mempunyai penghayatan jati diri yang berbentuk ‘Globally Renowned, Locally Rooted’ menjadi satu teras bagi menjana momentum kerjasama dan kolaborasi yang lebih proaktif dengan industri tempatan,” menurut kenyataan itu.

Majlis itu, yang berlangsung pada Jumaat lepas, dihadiri oleh Dekan Akademik dan Antarabangsa yang menjalankan tugas sebagai Penolong Naib Canselor KPSK UiTM Profesor Madya Dr Rusmadiah Anwar, Dekan Jaringan Industri, Komuniti dan Alumni KPSK yang menjalankan tugas Dekan Hal Ehwal Pelajar Profesor Madya Ts Dr Wan Aida Wan Yahaya serta Dekan Penyelidikan dan Inovasi KPSK Profesor Madya Dr Sharifah Faizah Syed Mohamed.

Menerusi kenyataan sama, Rusmadiah memaklumkan hubungan simbiosis antara industri penting dalam memastikan penempatan untuk latihan industri berkualiti agar pelajar mendapat keperluan akademik yang setimpal.

Beliau berkata perkara itu kritikal kerana beberapa program akademik dijalankan secara Pembelajaran Berasaskan Kerja seperti ‘2u1i’ (dua tahun di universiti dan setahun di industri) di lokasi rakan strategik KPSK.

“Selain kecemerlangan akademik pelajar, kolaborasi seumpama ini juga membuka peluang kepada pelajar untuk melihat potensi mereka dalam bidang pengurusan perniagaan dan keusahawanan dengan pendedahan kepada dinamik industri seni kreatif tanah air yang bersifat terkini serta relevan.

“Semoga hubungan strategik ini menjadi satu daya tambah yang positif bagi KPSK dan rakan industri UiTM khusus dalam memacu UiTM ke arah ketampakan global dengan jati diri yang sesungguhnya UiTM,” katanya.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan