AM

DELEGASI SARAWAK KUNJUNGI FASILITI SNOWY HYDRO TUMUT 3 DI AUSTRALIA

29/08/2024 12:29 AM

KUCHING, 28 Ogos (Bernama) -- Satu delegasi daripada Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi  Sarawak serta Sarawak Energy melawat fasiliti Snowy Hydro Tumut 3 di New South Wales, Australia semalam bagi menilai kebolehlaksanaan Penyimpanan Tenaga Hidro Dipam (PHES) di Sarawak. 

Kementerian itu dalam kenyataan hari ini memaklumkan delegasi berkenaan diketuai oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi.

Menurut kenyataan itu, PHES kini dipertimbang secara serius sebagai komponen untuk Sarawak mencapai sasaran menjana 10 gigawat (gw) tenaga elektrik menjelang 2030.  

“Delegasi Sarawak diberikan taklimat mengenai aspek operasi di Tumut 3 dan berpeluang melawat Empangan Talbingo, takungan atas stesen jana kuasa, yang berperanan penting dalam penjanaan tenaga elektrik dan pengurusan air. 

“Lawatan sambil belajar ini ditaja oleh Jabatan Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan Australia (DFAT) melalui inisiatif Perkongsian bagi Infrastruktur (P41) yang bertujuan mendapatkan pandangan mengenai usaha Australia melakukan peralihan tenaga selain pembangunan teknologi terutama PHES,’’ katanya.

Skim Hidroelektrik Snowy Mountains memiliki lapan stesen jana kuasa hidro termasuk dua di bawah tanah.

“Lapan stesen jana kuasa yang dilengkapi 33 turbin mampu menjana 4,100 megawatt untuk menghasilkan purata 4,500 gw tenaga elektrik boleh diperbaharui setiap tahun,” katanya. 

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan