SUKAN

LIEK HOU, MUHAMMAD FAREEZ SELANGKAH DARI FINAL EPIK

01/09/2024 07:37 AM

Daripada Amiril Muttaqien Meketar

PARIS, 31 Ogos (Bernama) -- Kem badminton para negara hanya selangkah daripada melakar satu lagi sejarah selepas kedua-dua wakil mereka dalam perseorangan lelaki SU5 (kecacatan fizikal) Cheah Liek Hou dan Muhammad Fareez Anuar berpeluang untuk bertemu sesama sendiri pada aksi final Sukan Paralimpik Paris 2024.

Kemenangan dilakar Liek Hou, yang turun ke Paris selaku pemenang emas Tokyo 2020, ke atas Suryo Nugroho dari Indonesia 21-10, 21-13, memastikan beliau muncul juara Kumpulan A sekali gus mengelak pertemuan dengan Muhammad Fareez Anuar yang mengungguli Kumpulan B, pada separuh akhir.

Undian pada hari ini menyaksikan Liek Hou bakal bertemu seteru ketatnya dari Indonesia, Dheva Anrimusthi yang melangkah ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B, sekali gus mengulangi final edisi lepas yang memihak kepada pemain Malaysia itu.

Muhammad Fareez pula bertemu Suryo selepas pemain kelima dunia itu menamatkan saingan di belakang Liek Hou dalam Kumpulan A.

Rekod pertemuan ke atas lawan memperlihatkan kedua-dua pemain negara mempunyai kelebihan dengan Liek Hou menang lapan dalam 15 perlawanan menentang Anrimusthi manakala Muhammad Fareez pula menang lima kali dan tewas tiga kali berdepan Suryo.

Biarpun sering berdepan Anrimusthi namun Liek Hou berkata beliau masih perlu melakukan analisis video permainan bagi merangka strategi berkesan mengatasi pemain ketiga dunia itu untuk layak ke final buat kali kedua berturut-turut.

Beliau pada masa sama gembira Muhammad Fareez dapat bersama-samanya di separuh akhir dan berharap dapat menentang rakan seperjuangannya di perlawanan akhir.

“Kita jalani latihan, makan dan tidur sama-sama di Majlis Sukan Negara Bukit Jalil. Saya nampak Muhammad Fareez memang berusaha keras hadapi Paris 2024,” katanya.

Selain kemenangan ke atas Suryo, Liek Hou membuka kempen Paris 2024 dengan meyakinkan apabila menang ke atas Mroz Bartlomiej dari Poland, 21-10, 21-6, pada Khamis disusuli kemenangan menentang pemain tuan rumah Meril Loquette 21-10, 21-16 semalam.

Beraksi buat kali pertama di Sukan Paralimpik dan diletakkan dalam kumpulan maut, tidak menggentarkan Muhammad Fareez dan beliau menguasai kesemua perlawanan Kumpulan B bermula dengan kejutan ke atas pilihan kedua Fang Jen-Yu dari Taiwan 21-14, 21-18, diikuti kemenangan ke atas Anrimusthi 14-21, 21-19, 21-19 dan pemain Jepun Taiyo Imai, 17-21, 21-17, 21-17.

Dalam pada itu, kejayaan wakil boccia negara, Noor Askuzaimey Mat Salim antara yang mencuri tumpuan kontinjen negara pada hari ketiga Paris 2024 yang akan melangkah ke separuh akhir menentang Cheung Yuen dari Hong Kong esok, selepas menumpaskan Chrisy Morfi Metzou dari Greece 7-0 pada suku akhir di South Paris Arena 1.

 Saingan di Velodrom Saint-Quentin-en-Yvelines pula menyaksikan dua wakil berbasikal trek para negara terkandas di peringkat kelayakan acara 1,000 meter (m) ujian masa lelaki C1-3 (kecatatan fizikal) dengan Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin menduduki tempat kelapan menerusi catatan 1 minit 09.487 saat (s), manakala Muhammad Adi Raimie Amizazahan pula merekodkan 1:13.780s di kedudukan ke-11.

-- BERNAMA

 

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan