SUKAN

SUKAN PARALIMPIK: NOOR ASKUZAIMEY MAKIN GARANG, KIAN HAMPIRI PINGAT

01/09/2024 07:55 AM

PARIS, 31 Ogos (Bernama) -- Pemain boccia negara, Noor Askuzaimey Mat Salim semakin hampir untuk merangkul pingat pada Sukan Paralimpik Paris 2024 selepas layak ke separuh akhir wanita individu BC4 (kecacatan fizikal) di sini, hari ini.

Bertempat di South Paris Arena 1, pemenang emas Sukan Para Asia Hangzhou 2022 ternyata bukan tandingan Chrisy Morfi Metzou apabila mudah membelasah lawan dari Greece itu 7-0 pada peringkat suku akhir.

Noor Askuzaimey akan menentukan tempat ke final berdepan pemain Hong Kong, Yuen Cheung.

Yuen sebelum itu melangkah ke separuh akhir dengan menumpaskan Laissa Polyana Teixeira dari Brazil, 4-1.

Noor Askuzaimey memulakan kempen sulung Sukan Paralimpiknya dengan bergaya apabila memenangi kesemua perlawanan untuk muncul juara Kumpulan B.

Pemain berusia 38 tahun itu menjadikan Hanaa Elfar sebagai mangsa pertamanya dengan membenam atlet Mesir itu 11-3 diikuti kemenangan tipis ke atas Alison Levine dari Kanada, 3-2 dan Nataliia Konenko dari Ukraine, 8-6.

Sementara itu, wakil individu lelaki BC4 (kecacatan fizikal) Abdul Razzaq Abdul Rahman tidak berupaya menjelmakan kemenangan sulung di pentas pertama Paralimpiknya susulan tewas buat kali ketiga berturut-turut dalam aksi Kumpulan C, kali ini kepada Artem Kolinko dari Ukraine, 4-1.

Abdul Razzaq yang menduduki tempat terakhir kumpulan sebelum ini dibelasah 0-8 oleh Stephen McGuire dari Great Britain dan mengalami kekalahan kedua di tangan Iulian Ciobanu dari Kanada, 4-6.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan