EKONOMI

NEW ZEALAND, MALAYSIA LONJAK NILAI PERDAGANGAN DUA HALA SEBANYAK 50 PERATUS PADA 2030

02/09/2024 01:26 PM

KUALA LUMPUR, 2 Sept (Bernama) -- New Zealand dan Malaysia bersetuju untuk meningkatkan nilai perdagangan dua hala sebanyak 50 peratus pada 2030, kata Perdana Menteri New Zealand Christopher Luxon.

Beliau berkata kedua-dua negara juga sedang bekerjasama untuk e-pensijilan dan kerjasama kastam baharu bagi memastikan aliran lancar di sempadan.

“Kami juga telah membincangkan mengenai pengukuhan pautan pendidikan dan pertukaran belia kami supaya generasi New Zealand dan Malaysia akan datang mempunyai hubungan erat yang sama seperti kami nikmati,” kata beliau.

Luxon berkata demikian semasa sidang media bersama Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya, pada Isnin.

Beliau kini mengadakan lawatan rasmi di Malaysia dari 1 hingga 3 September, menandakan satu langkah penting dalam memperkukuh hubungan antara kedua-dua negara.

Ini merupakan lawatan pertama Luxon ke Malaysia sejak memegang jawatan sebagai Perdana Menteri pada 27 Nov, 2023.

Semasa lawatannya, Luxon bertemu dengan Anwar untuk meneroka usaha baharu bagi mempererat hubungan dua hala, dengan tumpuan khusus bagi mengembangkan kerjasama perdagangan, pelaburan dan pertahanan.

Pada 2023, New Zealand merupakan rakan dagang ke-28 terbesar Malaysia, destinasi eksport ke-22 dan sumber import ke-27 terbesar dalam kalangan negara di rantau Oceania.

Jumlah perdagangan antara Malaysia dan New Zealand adalah sebanyak RM11.56 bilion (US$2.54 bilion).

Setakat Jun 2023, Malaysia ialah rakan dagang kedua terbesar New Zealand, dengan jumlah perdagangan antara kedua-dua negara mencecah RM6.32 bilion (US$1.46 bilion).

Pada 2023 juga, sebanyak 24 projek pelaburan telah diluluskan bernilai RM238.28 juta (US$79.9 juta); menjana 1,137 pekerjaan kepada tenaga kerja Malaysia

Luxon mengagumi kisah pertumbuhan luar biasa Malaysia yang komited untuk diteruskan oleh kerajaan Malaysia.

“Banyak yang boleh dipelajari New Zealand daripada anda, dan kejayaan luar biasa anda dalam menarik pelaburan asing adalah perkara yang saya nantikan dan saya juga gembira berbincang dengan anda hari ini,” kata beliau.

Sementara itu, Anwar berkata Malaysia dan New Zealand telah bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam perdagangan, pelaburan dan penyelidikan melibatkan semua bidang, terutama dalam industri halal.

Meskipun potensi dan hubungan baik yang dinikmati bersama selama beberapa dekad jika tidak, hampir satu abad, agak malang jika kedua-dua negara masih belum dapat mengambil langkah untuk memperkukuh kerjasama itu, kata beliau.

Anwar berkata beliau akan mengadakan mesyuarat Kabinet esok bagi mendapatkan nasihat dan pengalaman mengenai perkara yang perlu dilakukan dengan pantas bagi mengorak laluan untuk jalinan dan persahabatan yang lebih erat.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan