DUNIA

KERJASAMA DENGAN CHINA SANGAT MEMBERANGSANGKAN - PRESIDEN REPUBLIK AFRIKA TENGAH

02/09/2024 03:16 PM

BANGUI, 2 Sept (Bernama-CMG) -- Republik Afrika Tengah sebagai antara negara paling awal mengiktiraf penubuhan Republik Rakyat China mempunyai ikatan persahabatan yang kukuh dengan negara itu dan hubungan kerjasama yang erat untuk jangka masa panjang.

Presiden Republik Afrika Tengah Faustin-Archange Touadera berkata kedua-dua negara telah menjalinkan kerjasama yang amat berjaya dalam pelbagai bidang, termasuk pendidikan, sumber tenaga dan sebagainya dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

"Pembinaan stesen janakuasa fotovoltaik yang berkapasiti 15 MW dengan bantuan China, projek Juncao yang berperanan penting dalam memastikan keselamatan makanan, dan Institut Konfusius yang kondusif bagi menggerakkan pertukaran kebudayaan, merupakan antara kerjasama yang paling menonjol," katanya ketika temu bual dengan wartawan CMG baru-baru ini.

Touadera berkata projek yang dilaksanakan oleh kerajaan bersama kerajaan China dan Presiden Xi Jinping sejajar dengan kepentingan rakyat Republik Afrika Tengah, dan pelaksanaannya telah memberi manfaat nyata kepada kehidupan seharian rakyat tempatan.

“Seperti yang saya sebut tadi mengenai keselamatan makanan, projek-projek yang penting ini telah membolehkan banyak keluarga mendapat makanan yang mencukupi, menjana pendapatan dan menambah baik hidup," kata Touadera ketika membincangkan perubahan yang dibawa oleh projek-projek yang telah dilaksanakan dalam kerangka pembinaan bersama Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) dan Forum Kerjasama China-Afrika.

Mengulas lanjut Touadera berkata pasaran China amat menarik kerana ia bukan sahaja mempunyai populasi yang amat besar, malah ia juga mempunyai permintaan luas, selaras dengan produk milik negara itu.

“Sumber perlombongan yang kaya di negara kami sepatutnya dijadikan bidang penting bagi merintis kerjasama kedua-dua pihak. Kami akan mengundang syarikat China ke sini untuk mencungkil potensi pasaran tempatan dan mencari peluang perdagangan baharu antara kedua-dua negara," kata beliau.

-- BERNAMA-CMG

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan