DUNIA

PM PAETONGTARN BENTANG BARISAN KABINET BAHARU BAGI PENGESAHAN DIRAJA MINGGU INI

03/09/2024 10:59 PM

BANGKOK, 3 Sept (Bernama) -- Barisan kabinet baharu Thailand dijangka mendapat pengesahan diraja minggu ini, dengan Perdana Menteri Paetongtarn Shinawatra kini memuktamadkan senarai itu.

Selepas pemeriksaan menyeluruh latar belakang dan kelayakan 35 calon, Paetongtarn akan membentangkan senarai itu kepada Raja Maha Vajiralongkorn untuk pengesahan diraja.

Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai berkata senarai kabinet berada di tangan Perdana Menteri Paetongtarn, yang akan memutuskan calon mana yang akan memegang setiap jawatan.

Phumtham menyatakan bahawa sebaik sahaja senarai itu dimuktamadkan, ia akan diserahkan kepada Raja untuk kelulusan dan pengesahan.

"Saya percaya mesyuarat kabinet pertama akan diadakan sejurus selepas Baginda mengesahkan senarai itu. Dalam mesyuarat ini, Setiausaha Agung kepada Perdana Menteri yang baharu akan dilantik dan dasar yang akan dikemukakan kepada Dewan Rakyat akan dibincangkan," katanya kepada pemberita sebelum mempengerusikan mesyuarat kabinet di sini pada Selasa.

Beliau menjangkakan keseluruhan proses akan selesai menjelang 15 Sept, selepas itu semua menteri yang dilantik akan memulakan tugas mereka dengan segera.

Paetongtarn dipilih oleh Dewan Perwakilan Thailand sebagai perdana menteri pada 16 Ogos, menggantikan pendahulunya, Srettha Thavisin, yang dipecat oleh Mahkamah Perlembagaan pada 14 Ogos.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan