AM

ISU PENEMPATAN PEGAWAI JAKIM: TUDUHAN MCCBCHST TIDAK BERASAS - FAHMI

03/09/2024 05:48 PM

PUTRAJAYA, 3 Sept (Bernama) -- Kenyataan yang dikeluarkan oleh Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) bahawa pegawai Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang ditempatkan di sejumlah jabatan kerajaan dan kementerian terlibat dalam penggubalan dasar  adalah tidak berasas, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan itu berkata pegawai-pegawai berkenaan hanya ditempatkan untuk membantu dari segi integriti dan pengisian kerohanian di jabatan kerajaan serta kementerian terlibat.

“Maka untuk lemparkan tuduhan bahawa pegawai Jakim ini terlibat dalam isu dasar dalam kementerian mereka ditempatkan itu, ia terlalu jauh dari sasaran dan matlamat asal penempatan mereka,” katanya dalam sidang media mingguan di kementeriannya di sini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab dakwaan yang dikeluarkan oleh kumpulan agama berkenaan yang mendakwa kononnya pegawai Jakim akan ditempatkan di setiap jabatan kerajaan bagi memastikan keputusan selari dengan prinsip Islam.

Fahmi berkata dasar penempatan pegawai Jakim itu bukan baharu dilakukan, sebaliknya ia telah dilaksanakan sejak 2006 atau 2007 lagi.

Sehubungan itu beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan Mesyuarat Jemaah Menteri di Putrajaya hari ini telah mengarahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd N’aim Mokhtar dan Kementerian Perpaduan mengadakan perbincangan dengan kumpulan agama itu.

Fahmi berkata ia bagi mengelak salah faham yang berlanjutan walaupun isu berkenaan telahpun dijelaskan oleh Jakim pada 7 Ogos lepas.

Jakim dalam kenyataan pada 7 Ogos menjelaskan perjawatan Pegawai Hal Ehwal Islam Jakim telah diwujudkan di kementerian atas dasar keperluan pengurusan hal ehwal Islam di kementerian selaras dengan pelaksanaan Dasar Penerapan Nilai Murni semenjak awal tahun 80-an lagi.

Dasar itu kemudiannya dikenali dengan nama Dasar Penerapan Nilai Islam Dalam Perkhidmatan Awam (1985) dan Etika Kerja Islam (1987).

-- BERNAMA


 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan