AM

NILAI EKSPORT KAYU, PRODUK KAYU BERJUMLAH RM9.69 BILION SEHINGGA MEI 2024

06/09/2024 05:44 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 6 Sept (Bernama) -- Nilai eksport kayu dan produk kayu Malaysia mencatatkan pertumbuhan ketara mencecah RM9.69 bilion setakat Mei 2024, meningkat 17.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada 2022.

Pengerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) Datuk Larry Sng Wei Shein berkata produk utama berasaskan kayu yang dieksport ialah papan lapis, kayu potong dan perabot kayu.

“Perabot kayu menyumbang nilai eksport tertinggi iaitu sebanyak RM4.01 bilion, diikuti papan lapis dengan RM1.03 bilion dan kayu potong dengan RM9.12 juta setakat Mei 2024,” katanya sewaktu berucap pada majlis perasmian pameran Pasaran Perabot dan Perhiasan Malaysia (MFFM) 2024, di sini, pada Khamis.

Beliau berkata Malaysia memainkan peranan penting dalam pasaran kayu global dan berada dalam kalangan pengeksport perabot utama dunia manakala produk berasaskan kayu dari Malaysia telah dieksport ke lebih daripada 173 negara.

"'Produk Buatan Malaysia’ sangat dicari oleh pembeli perabot di seluruh dunia.

"Selain menumpu kepada pasaran eksport, pengeluar kita juga harus memberi perhatian kepada peningkatan permintaan terhadap produk perabot di pasaran domestik," katanya.

Bercakap kepada Bernama selepas majlis tersebut, Sng berkata beliau yakin terhadap prospek pertumbuhan industri perabot Malaysia pada 2024 yang dipacu oleh peningkatan permintaan kayu global. 

“Saya percaya penggunaan kayu global secara umumnya meningkat. Dengan pemulihan ekonomi global, perabot Malaysia akan menjadi lebih mampu milik dan menarik kepada pembeli antarabangsa,” katanya.

Beliau juga berkata penyertaan dalam acara mesyuarat, insentif, konvensyen dan pameran (MICE) seperti MFFM boleh meningkatkan lagi permintaan terhadap industri perabot Malaysia.

MFFM 2024 merupakan pameran perabot perniagaan kepada perniagaan pertama Malaysia. 

Acara ini yang berlangsung pada 5-7 September di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), akan menampilkan 50 penyertaan pemain industri termasuk dari China, Indonesia dan Jepun.

Pameran ini menyasarkan lebih 5,000 pembeli perdagangan termasuk 500 pembeli antarabangsa dari lebih 40 negara, yang akan mencari pelbagai jenis produk perabot.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan