AM

MOTAC INGATKAN ORANG RAMAI WASPADA DENGAN TAWARAN TENDER IKLAN MENCURIGAKAN

07/09/2024 12:04 PM

PUTRAJAYA, 7 Sept (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan berhati-hati dengan sebarang status tawaran tender iklan atau sebut harga berkaitan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) yang mencurigakan, kerana ia berkemungkinan tawaran palsu.

Kementerian berkenaan dalam kenyataan hari ini mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpedaya dan sentiasa berwaspada dengan sebarang panggilan atau SMS palsu yang diterima daripada pihak yang tidak bertanggungjawab.

MOTAC meminta mereka tertarik dengan ‘tawaran-tawaran’ itu untuk merujuk terlebih dahulu perkara berkenaan dengan pihaknya atau menghubungi pejabat MOTAC negeri yang berhampiran untuk pengesahan sebelum mengambil sebarang tindakan yang melibatkan transaksi kewangan. 

Ia susulan pihaknya menerima aduan dan pertanyaan daripada syarikat pembekal, yang mengatakan ada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan tidak dikenali telah mengeluarkan surat pesanan kerajaan palsu kepada pihak ketiga bagi perkhidmatan membekal dan menghantar makanan dan minuman ke pejabat kementerian tersebut di Sabah.

"MOTAC memandang serius aduan ini dan mengesahkan tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan tanpa mengikut prosedur dan tatacara pengurusan kewangan yang telah ditetapkan di peringkat Ibu Pejabat mahupun Negeri," menurut kenyataan itu.

Justeru orang ramai digesa agar tidak sewenang-wenangnya mempercayai mana-mana individu yang tidak dikenali dan mendedahkan maklumat peribadi.

"Sekiranya timbul sebarang keraguan, sila laporkan perkara ini dengan segera kepada pihak berkuasa Polis Diraja Malaysia atau Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk perhatian dan tindakan lanjut," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan