AM

PENULIS BLOG RAJA PETRA MENINGGAL DUNIA

10/09/2024 10:24 AM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Penulis blog Raja Petra Kamarudin meninggal dunia malam tadi di United Kingdom (UK) pada usia 74 tahun.

Perkara itu disahkan adiknya, Raja Idris menerusi satu hantaran di media sosial pagi ini.

“Dengan penuh dukacita saya ingin memaklumkan bahawa abang kesayangan saya Raja Petra Kamarudin meninggal dunia pada 11.26 malam waktu UK pada Isnin 9 Sept 2024 di Manchester, UK.

“Semoga Allah SWT menempatkan beliau dalam kalangan syuhada dan solihin. Amin ya Rabbal alamin,” menurut hantaran itu.

Dilahirkan pada 27 Sept 1950 di Surrey, England, Raja Petra mengendalikan laman web Malaysia Today, yang menyiarkan pandangannya mengenai politik Malaysia.

Allahyarham pernah menuntut di Kolej Melayu Kuala Kangsar dan Victoria Institution.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan