AM

OLIMPIK KHAS BUKA PELUANG SITI HAWI LUAS BAKAT NYANYIAN

10/09/2024 01:54 PM

JASIN, 10 Sept (Bernama) -- Meskipun tanpa latihan vokal, kelunakan suara Siti Hawi Mohd Tahir mengalunkan lagu tradisional nyata berada dalam kelas tersendiri apabila terpilih mewakili Melaka dalam persembahan nyanyian di Olimpik Khas bulan depan.

Lebih menarik lagu ‘Joget Kasih Tak Sudah’ nyanyian asal Datuk Seri Siti Nurhaliza, yang akan didendangkan oleh wanita berusia 36 tahun itu pada persembahan berkenaan, hanya dihafal dalam tempoh seminggu dengan sekadar mendengar alunan lagu itu memandangkan beliau merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan sejak berusia setahun akibat demam panas.

"Memang teruja sebab kali pertama membuat persembahan di pentas yang agak besar, ada peserta dari luar negara. Setakat ini persediaan berjalan lancar dengan bantuan cikgu-cikgu di PPDK (Pusat Pemulihan Dalam Komuniti) dan saya yakin dengan persembahan saya nanti walaupun tanpa hadir ke kelas vokal secara profesional," katanya kepada Bernama.

Siti Hawi yang merupakan peserta PPDK Nur Shahirah, Merlimau berkata persembahan itu mampu membuka peluang lebih luas kepada dirinya untuk meneroka dunia seni yang diminati sejak di bangku sekolah.

"Semasa sekolah rendah saya sering menyertai pertandingan tilawah, hafazan malah melalui nasyid, saya berpeluang bertanding di peringkat kebangsaan. Jadi saya harap bakat saya dalam bidang seni suara ini boleh naikkan semangat untuk bertanding atau mengadakan persembahan di peringkat atau acara lebih besar pada masa hadapan," katanya.

Beliau turut berharap persembahannya nanti selain Tarian Senandung Anak Melaka daripada PPDK Malindo, Alor Gajah dapat memperkenalkan lagi Melaka di persada antarabangsa khususnya ketika penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) pada masa ini.

"Kita ada pelbagai cara hendak tunjukkan sokongan bagi mempromosikan TMM2024. Walaupun kami golongan OKU, ia langsung tidak mengehadkan semangat untuk bersama-sama berbakti kepada negeri ini," katanya.

Setiausaha Eksekutif PPDK Nur Shahirah, Halimah Abdul Razak berkata persembahan berkenaan diadakan sempena Makan Malam Kebudayaan bagi Regional Leadership Conference yang dianjurkan oleh Special Olympics Asia Pacific pada 27 Okt ini di sebuah hotel di Putrajaya.

"Persembahan akan disertai lebih 30 negara termasuk India, Pakistan, Kemboja, Fiji, New Zealand dan Australia. Di samping pemarkahan yang akan diberikan, objektif utama persembahan itu adalah untuk mengetengahkan bakat remaja OKU dan lebih menarik Malaysia akan turut diwakili peserta dari Putrajaya dan Selangor dalam kategori lain," katanya.

Halimah mengakui terdapat beberapa cabaran terutama dalam aspek latihan memandangkan Siti Hawi merupakan seorang OKU penglihatan.

"Selain tiada guru vokal profesional untuk melatih suaranya, kita juga berdepan cabaran untuk dia 'menjiwai' nyanyian dan tarian yang mengiringi persembahannya nanti. Jadi untuk buat dia menjiwai lenggok lagu dan pergerakan tarian, para guru menggunakan teknik bercerita kepadanya dan sudah tentu adakalanya ia tidak seiring.

"Apa pun, kita buat segala yang termampu dan terbaik bagi memastikan anak OKU ini berpeluang mengetengahkan bakatnya di pentas antarabangsa dan pada masa yang sama memperbaiki mutu nyanyiannya menerusi persembahan sebegini," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan