EKONOMI

ZUS COFFEE RAIH PELABURAN BERNILAI RM250 JUTA UNTUK PENGEMBANGAN GLOBAL

10/09/2024 07:16 PM

KUALA LUMPUR, 10 Sept (Bernama) -- Rangkaian kopi tempatan yang didayakan teknologi, ZUS Coffee meraih pelaburan bernilai RM250 juta daripada sebuah konsortium yang merangkumi KV Asia Capital, Retirement Fund Inc (KWAP) dan Kapal Api Group.

Ernst & Young Malaysia bertindak sebagai penasihat penggabungan dan pengambialihan untuk transaksi tersebut.

Dalam satu kenyataan hari ini,  ZUS Coffee berkata kerjasama dan pelaburan baharu itu menandakan lembaran baharu serta sebagai sebagai batu loncatan untuk pertumbuhan syarikat. 

ZUS Coffee kini mengendalikan 600 kedai kopi serantau dan terus mengembangkan portfolionya di Malaysia.

“Dengan memanfaatkan ekuiti jenama yang kukuh dan asas pelanggan setia, ZUS Coffee kini memberi tumpuan untuk menjadi jenama antarabangsa. Pada masa ini, ZUS Coffee mengendalikan 50 kedai di Filipina dan menyasar untuk menjadi peneraju pasaran di sana dalam tempoh tiga tahun akan datang.

"Pelancaran pasaran akan datang, Singapura dan Brunei dirancang antara September dan akhir tahun,” kata syarikat itu.

ZUS Coffee juga giat mencari bakal rakan kongsi lain dalam pasaran antarabangsa dan menjangka mampu menjangkau lebih ramai pelanggan merentasi geografi baharu pada 2025.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Ian Chua yang teruja dengan pelaburan dan kerjasama baharu itu berkata syarikat berharap untuk terus memperkukuh rancangan pengembangan antarabangsanya.  

"Kerjasama ini bukan sahaja akan mengembangkan perniagaan teras kopi kami tetapi juga menyokong kemasukan kami dalam pasaran barangan pengguna cepat laris (FMCG),” katanya.

Ketua Pegawai Pelaburan KWAP Hazman Hilmi Sallahuddin berkata dana persaraan itu berbangga untuk bekerjasama dengan KV Asia Capital (firma ekuiti persendirian bertumpu Asia Tenggara) dan Kapal Api Group untuk menyokong fasa pertumbuhan ZUS Coffee yang seterusnya.

“Di peringkat tempatan, tumpuan kami adalah untuk membantu ZUS Coffee mengukuhkan kehadirannya melalui rangkaian kedai yang diperluas dan menyumbang kepada komuniti melalui penciptaan pekerjaan dan inisiatif tempatan.

“Sementara di peringkat antarabangsa, kami teruja untuk membantu jenama itu dalam mengembangkan jejak globalnya, meningkatkan lagi ZUS Coffee dan Malaysia di persada dunia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan