AM

PENDUDUK KAMPUNG MAJU JAYA DAKWA HIDU BAU MENYENGAT SEPERTI KIMIA

10/09/2024 04:54 PM

JOHOR BAHRU, 10 Sept (Bernama) -- Penduduk Kampung Maju Jaya di sini mendakwa menghidu bau kuat yang menyengat seperti bahan kimia sekitar 1 pagi semalam.

Bau tersebut didakwa dapat dihidu di sekitar kawasan kampung termasuk menerusi Sungai Tebrau berhampiran.

Seorang penduduk, Zaini Kasirin, 49, berkata kesan pencemaran bau itu menyebabkan segelintir penduduk terutama warga emas mengalami pening.

"Semalam penduduk kampung terutama warga emas mengadu rasa pening, biasa tidak berlaku (insiden) seperti ini. 

"Apabila masing-masing beritahu di kumpulan Whatapps kampung mengenai pencemaran bau itu, kami nasihat mereka duduk dalam rumah tetapi dalam rumah pun bau itu masih ada," katanya ketika ditemui pemberita di kampung berkenaan di sini hari ini.

Peniaga di kampung itu, Nor Lela Chokaran, 50, pula berkata dia pada awalnya menyangka terdapat kebocoran gas di warungnya selepas menghidu bau yang kuat.

"Saya ingatkan gas bocor tetapi selepas periksa dapur tiada pula masalah, pelanggan juga saya lihat tidak ramai seperti biasa dan banyak yang datang untuk bungkus makanan sahaja.

"Seorang pelanggan dari kampung sebelah dakwa bau busuk itu macam (disebabkan) ada orang buang asid dekat sungai," katanya sambil memaklumkan pencemaran bau itu turut menyebabkan dia mengalami pening.

Terdahulu, tinjauan Bernama hari ini mendapati aktiviti perniagaan penduduk berjalan seperti biasa, namun hanya segelintir penduduk dilihat keluar membeli juadah dan barangan keperluan asas.

Bagaimanapun rata-rata penduduk mendakwa bau tersebut tidak begitu ketara seperti semalam.

Semalam, Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Maju Jaya ditutup pada 1 tengah hari susulan 27 murid mengalami gejala pening dan muntah dipercayai akibat pencemaran bau yang berlaku di Kampung Maju Jaya dan Kampung Tawakal di sini.

Dilaporkan kesemua murid terbabit  menerima rawatan awal di sekolah berkenaan oleh doktor dan jururawat dari sebuah klinik kesihatan, dengan hanya seorang dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah di sini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri Aznan Tamin hari ini dipetik berkata SK Kampung Maju Jaya serta dua sekolah swasta iaitu Sekolah Rendah Islam Hidayah dan Sekolah Menengah Islam Hidayah di sini diarah melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan lanjutan tempoh PdPR bergantung kepada situasi dan laporan semasa berkaitan pencemaran bau itu.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan