AM

LUAS TANGANI INSIDEN AIR SUNGAI KABUL BERTUKAR MERAH JAMBU

15/01/2025 01:43 PM

SHAH ALAM, 15 Jan (Bernama) -- Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mengaktifkan kod kuning susulan insiden air sungai berwarna merah jambu dikesan di Sungai Kabul, Beranang dekat sini semalam. 

LUAS dalam kenyataan memaklumkan aliran air berwarna merah jambu sepanjang 500 meter itu dikesan semasa aktiviti rondaan dan pemantauan rutin kira-kira 6.40 petang di kawasan berkenaan semalam. 

"Kod Kuning diaktifkan mengikut Manual Kecemasan Pencemaran Sumber Air untuk tindakan siasatan menyeluruh serta pencegahan atau mitigasi segera. 

"Ini kerana aliran tercemar tersebut berpotensi memberi impak kepada loji rawatan air (LRA) Sungai Semenyih pada jarak 16.3 kilometer (km)," menurut kenyataan itu. 

Menurut LUAS pencemaran berkenaan dipercayai berpunca daripada sebuah premis kilang di kawasan perindustrian Beranang ekoran penemuan aliran berwarna di titik akhir pelepasan premis sebelum masuk ke Sungai Kabul dan seterusnya ke Sungai Beranang dan Sungai Semenyih.

Premis berkenaan telah diarahkan untuk menghentikan dan menutup pelepasan serta merta dan Surat Arahan di bawah Seksyen 121 (1), Enakmen LUAS 1999 telah diberikan kepada premis tersebut untuk melaksanakan pembersihan segera di lokasi dan kawasan yang terlibat. 

"LUAS juga telah melaksanakan pensampelan di lokasi-lokasi berkaitan bagi analisis Jabatan Kimia Malaysia (JKM) dan tindakan penguatkuasaan lanjut," menurut kenyataan itu. 

LUAS juga telah mengaktifkan pemantauan statik di Sungai Kabul dengan kekerapan 30 minit dan memantau kerja-kerja pembersihan oleh premis terlibat sehingga selesai dan setakat ini keadaan terkawal. 

Sementara itu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) ketika dihubungi memaklumkan tiada gangguan kepada bekalan air setakat ini berikutan insiden berkenaan. 

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan