AM

1,074 PEGAWAI, ANGGOTA POLIS DITUGASKAN PADA PENAMAAN CALON PRK DUN MAHKOTA

12/09/2024 06:12 PM

 JOHOR BAHRU, 12 Sept (Bernama) -- Sebanyak 1,074 pegawai dan anggota polis di negeri ini akan ditugaskan pada hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Kluang pada Sabtu ini.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata pasukan keselamatan itu akan ditempatkan di lokasi strategik bagi memantau situasi dan mengelakkan sebarang insiden yang boleh mengganggu ketenteraman awam. 

Beliau berkata kesemua pegawai dan anggota tersebut akan mengawal lalu lintas dan menjaga keselamatan sepanjang proses penamaan calon yang dijadual berlangsung di Dewan Tunku Ibrahim Ismail, Kluang. 

“Kita juga ingin menasihati calon dan penyokong parti terlibat agar mematuhi undang-undang serta peraturan yang ditetapkan bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar. 

“...tindakan tegas akan dikenakan sekiranya berlaku provokasi atau sebarang insiden yang boleh mengganggu-gugat ketenteraman awam atau menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Pada masa sama, Kumar turut menasihati semua pihak agar bersikap matang, saling menghormati dan mengelakkan daripada melakukan sebarang provokasi yang boleh mencetuskan kejadian tidak diingini. 

PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos, ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom, Kluang. 

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi pilihan raya itu pada 28 Sept manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada Sabtu ini dan 24 Sept. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan