AM

LEBIH RM96 JUTA BAUCAR BUKU DITEBUS SETAKAT INI - WONG

13/09/2024 06:36 PM

IPOH, 13 Sept (Bernama) -- Sejumlah RM96.7 juta peruntukan membabitkan pemberian baucar buku bagi pelajar tahap dua sekolah rendah, sekolah menengah sehingga peringkat institusi pengajian tinggi (IPT) sudah ditebus setakat hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan Wong Kah Woh berkata kerajaan memperuntukkan sejumlah RM284 juta untuk baucar buku yang boleh ditebus menerusi 'Digital Educational Learning Initiative Malaysia' (DELIMa) dan Kota Buku Digital.

"Kita melihat pelaksanaan (baucar buku) sedang dalam proses (penebusan) yang amat pantas sejak ia mula dilaksanakan Mei lepas.

"Saya juga telah meminta kerjasama semua sekolah untuk membantu dan menguar-uarkan kepada murid dan pelajar sekolah supaya menebus baucar buku sebelum tamat tempoh pada 31 Dis. Jadi, dalam tempoh beberapa bulan ini kita hendak mencapai penebusan hingga 100 peratus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Kesatuan Kebangsaan Guru-Guru Besar Malaysia di sini hari ini.

Pada 30 Mei lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian baucar buku RM50 dan RM100 kepada pelajar membabitkan murid tahun empat dan ke atas, pelajar sekolah menengah, penuntut IPT serta Institut Pendidikan Guru.

Inisiatif baucar buku untuk murid dan pelajar di semua institusi di bawah Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi itu selaras hasrat kerajaan melahirkan generasi berilmu, berfikiran kritis dan berwawasan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan