AM

CUCU MAHU TERUSKAN PERJUANGAN ALLAHYARHAM HUSSEIN AHMAD BANTU PETANI DI KELANTAN

13/09/2024 09:26 PM

PASIR MAS, 13 Sept (Bernama) -- Perjuangan memartabatkan petani dan pesawah akan diteruskan cucu kepada Allahyarham Tan Sri Hussein Ahmad, bagi membela nasib golongan itu khususnya di Kelantan.

Mohamad Radzuan Rosli, 34, berkata arwah datuknya yang lebih mesra dikenali sebagai ‘Hussein Serama’ pernah berpesan kepadanya, agar berusaha sebaik mungkin menangani masalah yang dihadapi petani dan pesawah terutama ketika berlaku musim kemarau dan sebagainya.

“Arwah datuk merupakan bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) selama 13 tahun dari 1990 hingga 2003, dan seorang yang kuat berkerja terutamanya bagi memastikan sistem pengairan kepada pesawah berjalan lancar.

“Meskipun sudah lama meninggalkan bidang politik dan semua jawatan yang dipegang selepas menghidap parkinson lebih 10 tahun lepas, namun ingatannya masih lagi tajam terutama berkaitan pertanian,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Lemal, di sini hari ini.

Bekas Ketua Penerangan UMNO itu meninggal dunia hari ini di kediamannya dekat Kampung Lemal di sini, akibat sakit tua pada 7 pagi tadi.

Jenazah Allahyarham Hussein selamat dikebumikan 2.30 petang selepas solat Jumaat di Tanah Perkuburan Islam Kubur Besar Bandar Pasir Mas, yang dihadiri hampir 100 tetamu termasuk keluarga dan sahabat untuk memberi penghormatan terakhir kepada beliau.

Sementara itu, rakan seperjuangan Allahyarham, Datuk Abdullah Mat Yasim berkata pemergian Hussein merupakan kehilangan besar dalam arena politik tanah air, terutamanya UMNO.

Beliau secara peribadi mengenali Hussein selepas dilantik sebagai pegawai khas ketika menjawat jawatan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada tahun 1987 hingga 1990.

“Beliau seorang yang tegas namun sentiasa menjadi rujukan pelbagai pihak, kerana sentiasa mahu membantu sesiapa sahaja,” katanya.

Allahyarham Hussein yang mempunyai enam anak, lebih 30 cucu dan 20 cicit itu juga pernah memegang jawatan Timbalan Menteri Besar Kelantan dari 1978 hingga 1982, serta Ahli Dewan Undangan Negeri Kelantan (ADUN) pada 1969 bermula sebagai ADUN Rantau Panjang sehingga 1997 dan ADUN Gual Periok daripada 1974 hingga 1982.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan