AM

UM, ICCR METERAI MOA PENUBUHAN KERUSI THIRUVALLUVAR, KUKUH HUBUNGAN AKADEMIK M'SIA-INDIA

14/09/2024 08:45 PM

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Universiti Malaya (UM) dan Majlis Perhubungan Kebudayaan India (ICCR) menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) mengenai penubuhan Kerusi Thiruvalluvar  bagi pengajian India yang bertujuan memperkukuh pertukaran akademik serta budaya antara Malaysia dan India.

Majlis menandatangani perjanjian antara Naib Canselor UM Prof Datuk Seri Dr Noor Azuan Abu Osman dan Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B. N. Reddy itu disaksikan oleh Menteri Hal Ehwal Luar India Kirti Vardhan Singh di Pejabat Naib Canselor UM semalam.

Kerusi Thiruvalluvar yang dinamakan sempena penyair dan ahli falsafah Tamil terkenal itu akan menggalakkan kecemerlangan akademik, penyelidikan dan pembangunan kurikulum pengajian India di UM sambil mengukuhkan lagi kerjasama dua hala antara kedua-dua negara.

UM dalam kenyataan memaklumkan inisiatif ini susulan pengumuman semasa lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke India pada Ogos yang menyaksikan beliau turut mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya Narendra Modi. 

MoA ini ialah langkah penting ke arah mempertingkatkan hubungan akademik antara Malaysia dan India.

"MoA antara UM dan ICCR memformalkan penubuhan Kerusi Thiruvalluvar bagi pengajian India di UM. Kerusi ini akan menggalakkan pertukaran akademik dan budaya antara Malaysia dan India, menumpukan kajian India serta menyumbang kepada penyelidikan dan pembangunan kurikulum di UM," menurut kenyataan itu.

Pemegang kerusi akan dilantik untuk satu tahun akademik dengan kemungkinan dilanjutkan dan dijangka bermula pada tahun akademik 2025. Perjanjian dijadualkan berlangsung selama lima tahun.

Sementara itu, Kirti Vardhan Singh gembira dengan hasil perbincangan yang produktif mengenai hala tuju hubungan lebih erat antara UM dan India serta hubungan antara Malaysia dan India secara keseluruhan.

Pertemuan antara Prof Noor Azuan dan pihak pengurusan tertinggi UM bersama Kirti Vardhan Singh serta Suruhanjaya Tinggi India di sini turut menyaksikan perbincangan mengenai inisiatif geran padanan antara UM dan institusi terkemuka India.

Ini akan memperkukuh lagi kerjasama dalam bidang seperti ekonomi digital, peralihan tenaga, kecerdasan buatan dan teknologi berimpak tinggi.

Noor Azuan juga memperkenalkan konsep 'Universiti Malaya-India Centre for Global and Civilisational Advancement' yang akan menjadi hab kerjasama dalam bidang akademik, penyelidikan, dan pembangunan sosioekonomi antara kedua-dua negara.

Naib Canselor turut menyentuh mengenai kepentingan pembangunan modal insan dengan rancangan untuk meningkatkan mobiliti ahli akademik, projek penyelidikan bersama serta penglibatan penerima Hadiah Nobel dari India dalam program-program di UM.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan