AM

DARI TEPI JALAN, REMPEYEK WAK TUNOT KINI 'TERBANG' KE LUAR NEGARA

16/09/2024 12:56 PM

Oleh Kamarul Halim M Kamal

KLUANG, 16 Sept (Bernama) -- Bermula dengan jualan di tepi jalan, Rempeyek Wak Tunot kini bukan sahaja jenama makanan ringan tradisi yang popular di daerah ini tetapi sudah menjangkau pasaran antarabangsa.

Pemilik dan pengasas Wak Tunot Enterprise Tulos Joyo, 72, berkata rempeyek menggunakan resipi turun-temurun yang mula dijual 2004 itu telah memasuki pasaran di Australia, New Zealand dan Singapura.

“Sebelum ini saya dan suami, Mihat Tahir, 81, membuka warung menjual mi bandung dan nasi goreng kampung, dan saya selitkan jualan rempeyek yang dibuat sendiri sebagai pendapatan sampingan. Tak sangka ia mendapat sambutan menggalakkan.

“Selain mahu meneruskan resipi yang saya pelajari daripada ibu, penjualan rempeyek ini juga adalah sebagai menyahut dan menyertai kempen kerajaan iaitu ‘1 daerah 1 industri’,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kilang Wak Tunot Enterprise di Kampung Tengah Kluang, di sini baru-baru ini.

Menurutnya, bagi pasaran tempatan rempeyek telah dijual di beberapa pasar raya terkenal selain turut mempunyai rangkaian ejen di Kuala Lumpur dan Johor, pada masa sama berhasrat memasuki pasaran di utara tanah air.

Tulos berkata perusahaannya mampu mengeluarkan 1,200 bekas rempeyek sehari dengan kekuatan 40 pekerja.

Selain mengekalkan pembuatan secara tradisional kerana lebih enak dan kualiti terjamin, beliau berkata perusahannya telah mendapat pensijilan halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 2006.

“Rempeyek dihasilkan perusahaan kami ada dua jenis iaitu kacang kuda dan juga kacang tanah. Saya juga pernah mencuba untuk mempelbagaikannya dengan menggunakan beberapa jenis kacang lain tetapi kurang mendapat sambutan

“Bagi menjaga kualiti, saya menggalakkan pelanggan untuk membelinya secara terus kerana rempeyek ini rapuh, berbanding melalui pos,” katanya.

Selain rempeyek, perusahaannya turut menjual lebih 400 jenis kuih tradisi dan makanan ringan selain terkenal sebagai pusat pengumpulan dan jualan produk industri kecil sederhana (IKS) setempat.

Tulos turut berterima kasih kepada kerajaan kerana membantu perniagaannya dengan menyalurkan beberapa bantuan daripada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Jabatan Pertanian, Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Institut Penyelidikan & Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan