POLITIK

SYED HUSSIEN BERTEKAD PERKASA KONSEP 'MAJU JOHOR'

17/09/2024 09:32 PM

KLUANG, 17 Sept (Bernama) -- Memperkasakan konsep 'Maju Johor' adalah antara agenda yang akan diberi penekanan oleh calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota Syed Hussien Syed Abdullah.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang itu berkata konsep tersebut merangkumi pelbagai aspek dan mengetengahkan kepentingan serta kesejahteraan semua penduduk di Johor. 

"Ia meliputi segala aspek dan lapisan (masyarakat) daripada golongan muda, warga emas, wanita dan kanak-kanak. Jadi teras Maju Johor ini menjadi antara perkara yang akan kita tekankan dan perkasakan di DUN Mahkota,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Usahawan anjuran Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional di sini hari ini yang turut dihadiri Pengerusi TEKUN Nasional Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid dan Timbalannya, Mohd Sany Hamzan.

Agenda Maju Johor dilancarkan oleh kerajaan negeri pada 2023 sebagai inisiatif untuk merealisasikan hasrat menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang 2030 yang antara lain menyentuh pembangunan ekonomi, jaringan keselamatan sosial, kemudahan dan keperluan asas, kebersihan dan kelestarian alam serta golongan muda.

Ditanya mengenai sambutan pengundi setakat ini, Syed Hussien berkata maklum balas baik diterima walaupun mengakui belum sempat bertemu separuh daripada mereka, mengambil kira jumlahnya yang ramai iaitu 66,318 orang. 

Beliau juga akan meneruskan konsep kempen secara berkelompok pintu ke pintu yang dilakukan buat masa ini dan ia bakal diperhebat apabila tempoh berkempen memasuki minggu kedua bagi menyantuni seramai pengundi yang boleh. 

"Kita merasakan sentuhan sebegini (kempen skala kecil) lebih penting kerana apabila bertemu secara sendirian atau dalam kelompok kecil, mereka kelihatan lebih selesa... jadi, kita terus menyasarkan focus group mengikut kesesuaian dan keadaan," katanya. 

Menyentuh mengenai perjumpaan hari ini, Syed Hussien berkata antara isu yang dibangkitkan oleh usahawan ialah agenda memperkasakan golongan itu diperhebat selain mengeratkan hubungan mereka dengan agensi atau jabatan berkaitan perniagaan. 

PRK DUN Mahkota yang bakal berlangsung pada 28 Sept ini menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Syed Hussien dan calon Perikatan Nasional Mohamad Haizan Jaafar. 

PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, semasa menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom di sini pada 2 Ogos lepas. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan