AM

MPOX: RAKYAT KELANTAN PULANG DARI NEGARA BERISIKO DIMINTA MAKLUM JKNK

18/09/2024 10:18 AM

KOTA BHARU, 18 Sept (Bernama) -- Rakyat Kelantan yang pulang dari negara berisiko termasuk Afrika seperti Republik Demokratik Congo diminta memaklumkan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) untuk pemantauan bagi mengekang jangkitan penyakit cacar monyet atau mpox. 

Pengarahnya Datuk Dr Zaini Husin berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Jabatan Imigresen untuk melakukan pemantauan bagi mengesan individu yang pulang dari negara terbabit.

"Pemantauan ini turut dilakukan dipintu sempadan negeri ini iaitu Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang dan Bukit Bunga. 

"Setakat hari ini, kita tidak terima sebarang kes mengenai mpox tetapi kita nasihatkan orang ramai sekiranya pergi ke negara berisiko perlu segera maklumkan kepada JKNK untuk melakukan pemantauan termasuk mereka yang terdedah dengan individu terkena mpox," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada negara Thailand termasuk dalam kategori negara berisiko, Dr Zaini memaklumkan setakat ini negara Thailand bukan negara berisiko.

Terdahulu, media melaporkan, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan satu kes positif mpox varian clade II di negara ini, semalam.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata pesakit berkenaan seorang lelaki tempatan yang mula menunjukkan gejala demam, sakit tekak dan batuk pada 11 Sept lalu, manakala ruam mula muncul pada 12 Sept.

-- BERNAMA

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan