AM

LEBIH 470,000 KUNJUNGI EKSPO INSTITUSI TVET@KKDW DI MELAKA

29/09/2024 07:30 PM

MELAKA, 29 Sept (Bernama) -- Sebanyak 479,554 individu sama ada secara fizikal atau maya mengunjungi Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KKDW yang diadakan secara hibrid di sini selama tiga hari bermula Jumaat lepas, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Afandi Nordin.

Beliau berkata jumlah berkenaan melebihi sasaran awal 300,000 pengunjung sekali gus menjadikan ekspo kali keenam itu kekal sebagai medan terbaik untuk mempamerkan kehebatan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang diwujudkan menerusi 279 institusi TVET di bawah KKDW.

"Ekspo ini berjaya mencapai aspirasi untuk memperkasakan pendidikan TVET dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai potensi, peluang kerjaya serta kemahiran yang ditawarkan melalui pelbagai program TVET di 279 institusi TVET di bawah KKDW. 

"Penganjuran ekspo ini juga sebagai usaha menarik lebih ramai pengunjung menyertai acara tahunan ini, sekali gus membuka peluang ke arah meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup Ekspo Institusi Pendidikan TVET@KKDW 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di sini hari ini. 

GiatMARA merangkul Anugerah Johan keseluruhan penganjuran ekspo itu, Institut Kemahiran MARA (IKM) Seberang Perai Utara meraih Anugerah Inovasi Terbaik manakala Anugerah Khas Juri diterima IKM Besut.

Afandi berkata KKDW sentiasa menyokong penganjuran program promosi TVET di peringkat agensi dan institut, memperkukuh kerjasama sinergi antara syarikat dengan institusi TVET serta mewujudkan peluang kerjaya untuk pelajar dan graduan TVET.

Beliau berkata pada program kali ini 120 siswazah berjaya mendapat pekerjaan manakala 654 layak ke temu duga kedua yang dijalankan 23 majikan dan industri menerusi Karnival Kerjaya MyFuture Jobs sepanjang tiga hari ekspo berlangsung.

Pertandingan yang diadakan sepanjang ekspo itu juga, katanya mampu menjadi kaedah pembelajaran dan perkongsian idea pelajar dalam meningkatkan kemahiran teknikal serta mengasah daya inovasi peserta untuk bersaing di peringkat antarabangsa termasuk WorldSkill Competition. 

"Produk dan perkhidmatan inovatif yang dihasilkan peserta berpotensi besar untuk dikomersialkan, maka ambillah peluang mempatenkan hasil ciptaan dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia supaya ia menjadi hak eksklusif sebagai pereka cipta," katanya. 

Seorang peserta dari German-Malaysian Institute (GMI) Allyana Syakira Safri, 20, menyifatkan ekspo TVET@ KKDW sebagai ruang untuknya mencari idea bagi projek tahun akhir yang sedang diusahakan. 

“Saya harap pada masa akan datang, lebih banyak kategori diwujudkan bagi memudahkan pelajar dan masyarakat faham hubung kait sesuatu teknologi yang dihasilkan," kata pelajar Diploma Elektronik dan Teknologi Maklumat itu. 

Rakannya, Hureen Hanifa M Rosli, 20, mengakui bidang TVET amat membantu golongan yang tidak berminat dalam akademik dan berharap lebih banyak penganjuran ekspo sedemikian dilaksanakan terutama di kawasan pinggir bandar. 

"Saya berharap lebih banyak pemain industri terlibat secara langsung atau tidak dalam bidang teknologi tampil bersama-sama untuk membantu program TVET kerana ia memberi kesan positif yang sangat besar terutama dalam mewujudkan tenaga kerja berkemahiran tinggi," katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan