SUKAN

SKUAD WANITA SABAH TARIK DIRI SERTAI PIALA TUN ABDUL RAZAK 2024

30/09/2024 03:19 PM

KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Skuad hoki wanita Sabah mengesahkan tidak beraksi pada kejohanan hoki Piala Tun Abdul Razak 2024 berlangsung di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru pada 2 hingga 12 Okt ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata penarikan diri juara bertahan itu disebabkan kekangan kewangan.

Bagaimanapun, beliau berkata ketiadaan pasukan wanita Sabah tidak akan menjejaskan pertandingan memandangkan skuad remaja negara, Young Tigress akan mengisi kekosongan tersebut sebagai persiapan menyertai Piala Remaja Asia di Muscat, Oman dari 11 hingga 19 Nov ini.

“Untuk Sabah mereka kurang peruntukan dan mampu untuk hantar satu pasukan sahaja,” katanya pada sidang media Piala Tun Abdul Razak di Pejabat Konfederasi Hoki Malaysia di sini hari ini.

Sementara itu, Anil yang juga Presiden Hoki Sabah berkata walaupun tanpa penyertaan pemain wanita, beliau optimis skuad lelaki mampu membuat kejutan dan menyasarkan sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir.

Sebanyak 25 pasukan mengambil bahagian tahun ini melibatkan 14 pasukan lelaki dan 11 pasukan wanita. 

Bagi kategori lelaki, juara bertahan Kuala Lumpur diundi bersama-sama Pahang, Johor, Selangor, Pulau Pinang, Perlis dan Singapura dalam Kumpulan A. 

Kumpulan B pula menyaksikan naib juara tahun lepas, Melaka diundi bersama-sama Perak, PDRM, ATM, Terengganu, Negeri Sembilan dan Sabah. 

Sementara itu, finalis kategori wanita edisi lepas, Selangor diundi dalam kumpulan A bersama-sama Pulau Pinang, Pahang, Perak dan Johor sementara Melaka, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Terengganu, ATM dan Young Tigress berada dalam Kumpulan B. 

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan