AM

PROGRAM MALAYSIA SEMICONDUCTOR RECRUITMENT DAY 2024 CAPAI SASARAN

05/10/2024 10:31 PM

SHAH ALAM, 5 Okt (Bernama) -- Penganjuran Malaysia Semiconductor Recruitment Day 2024 mencapai sasaran dengan lebih 3,000 saringan pekerjaan dijalankan sepanjang dua hari program berkenaan berlangsung di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

 Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonom Digital Selangor (Sidec) Yong Kai Ping berkata program berkenaan telah menghubungkan pencari kerja dengan syarikat gergasi dalam industri seperti NXP, Infineon Technologies, Inari Amertron, Chipsbank, Betterlife.

Beliau berkata program berkenaan turut menyaksikan ratusan tawaran pekerjaan secara langsung dengan permintaan tinggi untuk jawatan penting seperti Jurutera Reka Bentuk Litar Analog, yang akan memacu pertumbuhan industri semikonduktor Malaysia.

“Tiga kumpulan peserta berbeza terlibat dalam program ini. Pertama siswazah baharu, terutama yang mempunyai kelayakan akademik pertengahan, hadir dalam jumlah besar untuk mencari peluang pekerjaan.

“Kedua, pekerja profesional sedia ada terutama dari sektor pembuatan menunjukkan minat untuk meneroka peranan baharu dalam bidang semikonduktor. Akhir sekali terdapat kehadiran ketara daripada pencari kerja antarabangsa, terutama warga tempatan yang telah bekerja di luar negara dan kembali ke Malaysia disebabkan cabaran ekonomi di negara barat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata penganjuran program berkenaan bukan sahaja mengenai mencari pekerjaan tetapi lebih kepada membentuk masa depan industri semikonduktor negara, pada masa sama menekankan komitmen Sidec untuk mengadakan lebih banyak acara yang akan terus memperkukuh Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) Malaysia.

“Inisiatif ini akan meningkatkan kehadiran Malaysia sebagai pemain utama dalam sektor reka bentuk IC dan semikonduktor global.

“Ini baru permulaan. Kami sedang mencipta ekosistem yang menghubungkan minda cemerlang Malaysia dengan pemimpin industri global. Kesan program ini akan dirasai di seluruh rantaian bekalan semikonduktor,” katanya.

Program yang diadakan dengan kerjasama Malaysia Advanced Semiconductor & AI Academy ini berjaya mengumpulkan 25 syarikat semikonduktor terkemuka di bawah satu bumbung dan telah menarik pencari kerja dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan