AM

SASAR SARAWAK DELTA GEOPARK DAPAT PENGIKTIRAFAN UNESCO MENJELANG 2026 - ABANG JOHARI

07/10/2024 04:19 PM

KUCHING, 7 Okt (Bernama) -- Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyasarkan Sarawak Delta Geopark diangkat sebagai UNESCO Global Geopark (UGGp) menjelang 2026. 

Beliau berkata buat masa ini pihaknya sedang berusaha memenuhi kriteria ditetapkan untuk mendapat kelulusan Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO). 

“Ada beberapa kriteria (untuk dipenuhi) dan kita mahukan pakar daripada UNESCO untuk menilai khazanah geopark kita … kalau kita dapat menepati semua itu maka kemungkinan dibawa ke lembaga UNESCO untuk membolehkan sama ada geopark kita diiktiraf sebagai tapak UNESCO. 

“Kalau diluluskan keseluruhannya kita ada tiga kerana Malaysia sudah ada dua iaitu Langkawi UNESCO Global Geopark, Kedah dan Kinabalu UNESCO Global Geopark, Sabah jadi kalau Sarawak dapat pengiktifaran itu maka ia akan jadi geopark yang unik di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program ‘International Seminar On Aspiring Sarawak Delta UNESCO Global Geopark’ di sini hari ini.

Pada Julai lepas, Kompleks Gua Taman Negara Niah di Sarawak diiktiraf sebagai Tapak Warisan Arkeologi Dunia UNESCO. 

Dalam pada itu, Abang Johari berkata pengiktirafan Sarawak Delta Geopark kelak akan memberikan kesan positif kepada kualiti industri pelancongan Sarawak selain memupuk nilai cintakan alam sekitar kepada rakyat dan pelancong.

Terdahulu, dalam ucapannya beliau berkata usaha untuk mengangkat Sarawak Delta Geopark sebagai UGGp selari dengan matlamat Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS) oleh kerajaan Sarawak yang turut menekankan sudut kemampanan alam sekitar.  

"Aspek lain berdasarkan PCDS 2030 iaitu apabila kami merancang pembangunan kami ingin memastikan sektor pelancongan menitikberatkan kualiti. Di Sarawak kami lebih suka pelancongan yang berkualiti," katanya.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan