AM

MALAYSIA OPTIMIS CHINA TAMBAH KUOTA PESERTA MCYTT TAHUN DEPAN

07/10/2024 06:30 PM

SEPANG, 7 Okt (Bernama) -- Kerajaan optimis kuota peserta Latihan TVET Belia Malaysia-China (MCYTT) akan ditambah lagi tahun depan berdasarkan hubungan baik Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kepemimpinan tertinggi China, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata pada peringkat permulaan, kerajaan China menawarkan 3,125 tempat kepada rakyat Malaysia untuk menyertai program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di 225 institusi di republik itu sebelum ditambah 2,000 lagi Julai lepas, menjadikan 5,125 tempat.

"Saya bersyukur kerana selepas kedatangan saya ke China (Julai lepas), pihak pemerintah China telah menambah 2,000 lagi menjadikan 5,125.

"Dan tentunya saya yakin dengan hubungan baik Perdana Menteri dengan Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Qiang, saya fikirlah dalam hati saya dan dalam minda saya, tahun depan mereka akan tambah lagi untuk menghantar pelajar-pelajar kita dalam TVET ini," katanya semasa menyampaikan amanat kepada 200 peserta MCYTT, di sini hari ini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata hubungan diplomatik yang baik antara Malaysia dan China telah bermula sejak di bawah kepimpinan Perdana Menteri kedua Tun Abdul Razak Hussein.

Menurutnya kerajaan juga bersetuju untuk membiayai tiket penerbangan pergi dan balik peserta MCYTT termasuk bagi peserta yang telah mengikuti program itu sebelum ini.

Pengerusi Majlis TVET Negara itu berkata MCYTT bakal menjadi platform penting mendidik bakat tempatan yang dihantar ke negara Tembok Besar itu bagi menjalani latihan peningkatan kemahiran jangka pendek, sederhana dan panjang.

"Usaha ini pastinya memberikan impak yang signifikan dari segi penempatan pekerjaan bagi belia kita, meningkatkan kualiti tenaga pengajar TVET dan membuka peluang lanjutan latihan sehingga peringkat ijazah kemahiran di China. 

"Kolaborasi antara institusi dan industri TVET Malaysia dan China juga telah mempercepat perpindahan teknologi yang sangat diperlukan untuk masa depan industri kita," katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan