AM

ANWAR FOKUS KEPADA USAHA BANTERAS RASUAH, TINGKAT TADBIR URUS DALAM PEMBANGUNAN MALAYSIA

07/10/2024 06:58 PM

KUALA LUMPUR, 7 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap komitmen bagi membersihkan rasuah sistemik dan memastikan pelaksanaan tadbir urus yang baik, sebagai tonggak utama pencapaian Kerajaan Perpaduan sejak beliau mengambil alih pentadbiran negara pada bulan November 2022.

Dalam temu bual dengan wartawan terkenal British-Amerika Mehdi Hasan baru-baru ini, Anwar mengetengahkan kemajuan penting yang telah dicapai kerajaannya dalam menambah baik landskap politik dan ekonomi Malaysia, semasa menangani kritikan terhadap gabungan parti dan tadbir urus. 

"Kita perlu membersihkan kekusutan rasuah sistemik," kata Anwar, yang merujuk kepada perjuangan Malaysia dalam menangani skandal rasuah beberapa dekad kebelakangan ini, terutamanya skandal berkaitan 1MDB.

Beliau merujuk kepada Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) sebagai langkah utama ke arah meningkatkan ketelusan dan memastikan akauntabiliti dalam kerajaan.

Perdana Menteri juga menegaskan bahawa semua proses tender kini adalah telus, dan tiada lagi tender rundingan terus, yang merupakan laluan kearah mensia-siakan dana awam.

Anwar turut menyentuh tentang kesukaran mengimbangi realiti politik dengan agenda reformisnya, terutama selepas Pakatan Harapan membentuk Kerajaan Perpaduan bersama dengan Barisan Nasional, bekas seteru politiknya, bagi memastikan kestabilan politik.

“Kita kena teruskan. Ia adalah gabungan (pakatan), tetapi prinsipnya telah dijelaskan dengan jelas - tiada toleransi terhadap rasuah, salah guna kuasa - dan tumpuan adalah kepada pembangunan ekonomi,” katanya.

Anwar menegaskan bahawa kerajaannya kekal teguh dalam usaha membanteras rasuah, dengan siasatan diteruskan terhadap individu yang dituduh menyalahgunakan jawatan awam untuk kepentingan peribadi.

"Jika anda menggunakan jawatan untuk mengumpul berbilion-bilion dolar, saya tidak boleh menghentikan siasatan hanya kerana anda berada dalam pembangkang atau kerajaan," katanya, merujuk kepada kes rasuah yang berterusan terhadap tokoh politik.

Ketika ditanya mengenai keputusan menggugurkan pertuduhan rasuah yang dihadapi timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Anwar menjelaskan bahawa keputusan itu dibuat oleh Peguam Negara, bukan oleh beliau secara peribadi.

“Ia adalah keputusan yang dibuat secara bebas oleh Peguam Negara. Saya tidak menggugurkan kes itu,” katanya.

Anwar memberi jaminan bahawa kes rasuah berskala besar masih diteruskan dan pentadbirannya terus komited untuk membanteras rasuah.

Dalam membincangkan landskap politik Malaysia yang lebih luas, Anwar menekankan kepentingan keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama, dan menggambarkan Malaysia sebagai model untuk kewujudan bersama secara aman.

“Dalam dunia di mana terdapat begitu banyak sikap tidak amanah, percanggahan, kepura-puraan, dan perkauman, Malaysia mesti mempamerkan bahawa negara berbilang kaum, agama boleh berkembang maju melalui tadbir urus yang baik dan toleransi,” katanya.

Anwar seterusnya mengimbas perjalanan peribadinya daripada pemenjaraan politik hingga menjadi pemimpin negara, dan menyimpulkan bahawa pengalamannya itu telah mengukuhkan keazamannya untuk memperjuangkan hak asasi manusia dan keadilan.

"Selepas anda menjadi mangsa kezaliman dan pencabulan hak asasi manusia, ia menyuburkan semangat gigih anda untuk memperjuangkan kebebasan, toleransi dan kemanusiaan," katanya.

Anwar turut menyentuh kebimbangan berhubung Akta Hasutan, dengan mengatakan bahawa akta itu digunakan terutamanya bagi melindungi institusi diraja Malaysia, terutama sultan dan raja, yang tidak terlibat dalam politik.

“Akta Hasutan melibatkan sultan dan raja negara ini. Perlembagaan menyediakan perlindungan itu,” katanya.

Ketika Anwar menghampiri tempoh dua tahun memegang jawatan perdana menteri, fokusnya kekal kepada usaha memastikan kerajaan menunaikan janji-janjinya.

"Cabaran bagi mana-mana elitis politik adalah untuk menghormati komitmen mereka dan melaksanakan dasar yang konsisten dengan apa yang telah mereka nyatakan pada masa lalu," katanya. 

“Insya-Allah, kita akan terus mempamerkan Malaysia sebagai sebuah negara yang komited kepada tadbir urus yang baik, keharmonian berbilang kaum dan pembangunan ekonomi,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan