AM

SYARIKAT TEKNOLOGI TINGGI, ISVISION HASRAT MASUK PASARAN MALAYSIA - DR ZALIHA

08/10/2024 10:39 AM

PUTRAJAYA, 8 Okt (Bernama) -- Syarikat berteknologi tinggi di China, ISVision (Hangzhou) Technology Co Ltd menyatakan minat untuk memasuki pasaran Malaysia, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.

Dr Zaliha berkata hasrat untuk memasuki pasaran negara dinyatakan ketika beliau mengadakan lawatan ke syarikat berkenaan dan Dahua Technology di Hangzhou hari ini.

“ISVision adalah syarikat berteknologi tinggi dalam 'industrial machine vision' yang memfokuskan pembuatan automobil serta pengoperasian kereta api. 

“Mereka juga berminat untuk memasuki pasaran Malaysia sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan ke negara ASEAN dengan potensi Malaysia sebagai hab ASEAN untuk syarikat tersebut,” katanya dalam hantaran menerusi laman Facebook rasminya hari ini.

Dr Zaliha berkata pihaknya turut mengadakan perbincangan bagi meneliti potensi pelaburan berterusan dan pengembangan perniagaan Dahua Technology di Malaysia.

Dahua Technology, yang merupakan penyedia global perkhidmatan Internet benda (IoT) berasaskan video sejak 2001 sedang beroperasi di Malaysia melalui anak syarikatnya, Dahua Security Malaysia Sdn Bhd, di Petaling Jaya, Selangor.

Beliau turut dijadualkan bertemu Mayor Yao Gaoyuan, Datuk Bandar Hangzhou untuk perbincangan lanjut berkenaan projek KL20 hari ini.

Dr Zaliha sedang mengadakan lawatan kerja rasminya selama enam hari ke China bermula semalam sebagai usaha meneroka peluang kerjasama bandar pintar dan pelaburan teknologi dengan China.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan